TANJONG MALIM – Kejayaan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad - Mahasiswa Program Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat), meraih tempat ketiga dalam 2026 Adobe Certified Professional World Championship di Anaheim, California baru-baru ini membuktikan bahawa penguasaan teknologi digital perlu digabungkan dengan kreativiti, pemikiran strategik dan kebolehan memahami kehendak pelanggan.
Adobe Certified Professional World Championship dianjurkan oleh Certiport, sebuah syarikat milik Pearson VUE yang menyediakan peperiksaan pensijilan kemahiran rasmi bagi pelbagai perisian dan teknologi serta menawarkan pensijilan yang diiktiraf di peringkat global kepada pelajar dan golongan profesional.
Untuk layak ke pentas dunia, peserta perlu memiliki pensijilan Adobe Certified Professional dalam Photoshop, Illustrator atau InDesign serta memenangi pertandingan kelayakan di peringkat kebangsaan.
Pertandingan yang memasuki tahun ke-13 itu menghimpunkan 56 finalis daripada 27 negara, melibatkan peserta berusia antara 13 hingga 22 tahun. Peserta dinilai berdasarkan keupayaan menggabungkan kemahiran teknikal, kreativiti dan penyelesaian masalah melalui cabaran reka bentuk berasaskan situasi dunia sebenar.
Natalie Sit, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Acestar Sdn. Bhd. merangkap pengasas Creative Cloud Community (CCC), menyifatkan edisi 2026 sebagai pencapaian terbaik bagi kontinjen Malaysia.
Beliau berkata Acestar Sdn. Bhd., selaku penganjur rasmi Kejohanan Peringkat Kebangsaan Adobe Certified Professional (ACP) 2026 anjuran CCC serta penaja kepada juara kebangsaan, Muhammad Fawwaz Haiqal, berjaya membawa lima bakat Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Daripada jumlah tersebut, tiga peserta bertanding dalam kategori Adobe Certified Professional (ACP), manakala dua lagi menyertai kategori Microsoft Office Specialist (MOS).
Tempat pertama kejohanan ACP 2026 dimenangi Lulu Emanuele dari Amerika Syarikat, diikuti Furtini Baldesin dari Brazil di tempat kedua, manakala Fawwaz dan Nafiz dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat. Nafiz turut memenangi anugerah People’s Choice Award, sekali gus menyaksikan dua wakil Malaysia berada dalam kelompok empat peserta terbaik dunia.
Menurut jurulatih Fawwaz, Ahmad Nurzid Rosli (Pensyarah Kanan) dari Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (FKMT), pencapaian itu merupakan hasil proses pembangunan bakat yang dilaksanakan secara berperingkat, berstruktur dan konsisten. “Pingat ini adalah satu pencapaian membanggakan, tetapi perkara yang lebih bermakna ialah perkembangan Fawwaz sebagai bakat digital yang bukan lagi sekadar pengguna aplikasi, tetapi mampu berfikir daripada perspektif pelanggan dan menghasilkan reka bentuk yang mempunyai tujuan,” katanya.
Menurut beliau, latihan tidak hanya tertumpu kepada penguasaan teknikal dalam Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign, malah merangkumi prinsip reka bentuk, tipografi, hierarki visual, pemilihan warna, pengurusan ruang serta penyampaian mesej yang berkesan.
Setiap hasil reka bentuk melalui proses penilaian, kritikan dan penambahbaikan, selain latihan simulasi yang membiasakan Fawwaz bekerja dalam tempoh masa terhad, membuat keputusan dengan pantas dan mengekalkan mutu hasil akhir.
“Matlamat kami bukan sekadar melatih Fawwaz menggunakan aplikasi Adobe, tetapi membentuknya sebagai seorang penyelesai masalah visual yang mampu memahami tujuan sesuatu projek dan menghasilkan reka bentuk yang memberikan nilai kepada sasaran audiens dan pelanggan,” kata Ahmad Nurzid.
Beliau berkata, daripada proses mengenal pasti bakat, menjalani latihan berstruktur sehingga memahami kehendak pelanggan sebenar, perjalanan Fawwaz membuktikan bahawa kreativiti, kemahiran digital, disiplin dan bimbingan yang konsisten mampu membawa bakat muda Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.
Berkongsi pengalamannya, Muhammad Fawwaz Haiqal berkata pendekatan latihan tersebut membantunya menggunakan aplikasi digital secara lebih strategik dan bukan sekadar menghasilkan karya yang kelihatan menarik.
“Dalam pertandingan dunia tahun ini, peserta diberikan tugasan berasaskan tema My Life Is Worth Living, sebuah inisiatif oleh organisasi bukan berasaskan keuntungan, Cook Center for Human Connection, yang mengetengahkan isu kesihatan mental dan kesejahteraan golongan muda,” katanya.
Dalam tugasan tersebut, Fawwaz menghasilkan reka bentuk berasaskan kisah Danny, seorang remaja yang berusaha membina semula kehidupannya selepas mengalami kemalangan yang memberi kesan terhadap keadaan fizikal dan emosinya. Kisah itu mengetengahkan isu pemikiran negatif, kemurungan, trauma, kebimbangan dan perasaan mengecewakan keluarga, selain menekankan kepentingan sokongan individu di sekeliling, komunikasi keluarga, pemikiran positif, pelan keselamatan serta proses menyesuaikan diri dengan “normal baharu”.
Melalui latihan simulasi, Fawwaz turut belajar menentukan keutamaan, mengurus masa dan membuat keputusan kreatif secara lebih tersusun. Beliau juga dilatih untuk menjelaskan rasional di sebalik setiap reka bentuk serta menerima kritikan sebagai sebahagian daripada proses penambahbaikan.
Persediaan Fawwaz turut mendapat bimbingan Nur Saadah Fathil selaku penasihat, selain sokongan tenaga pengajar dan pakar yang bersama-sama membantu memperkukuh persediaannya menuju pertandingan dunia. Kejayaan tersebut mencerminkan bahawa pembangunan bakat bertaraf antarabangsa memerlukan sokongan kolektif antara universiti, industri, pembimbing dan pihak penganjur.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)





