Universiti sukan perlu jamin masa depan atlet

13 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Universiti sukan perlu jamin masa depan atlet

PENULIS menyambut baik cadangan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk meneroka penubuhan universiti khusus dalam bidang sains sukan. 

Inisiatif ini berpotensi memperkukuh pembangunan atlet melalui pendidikan, penyelidikan dan sokongan prestasi yang lebih tersusun.

Namun, perancangan universiti ini perlu mengambil kira masa depan atlet selepas bersara. 

Kecederaan, kemerosotan prestasi atau kegagalan mendapat tempat dalam pasukan boleh menamatkan perjalanan seseorang lebih awal. Oleh itu, pendidikan dan kemahiran yang diperoleh ketika aktif bersukan perlu menjadi bekalan untuk meneruskan kehidupan serta membina kerjaya.

Konsep dwi kerjaya wajar dijadikan asas pembangunan universiti ini. Atlet bukan sahaja dibimbing mencapai kecemerlangan sukan, malah perlu diberi peluang memperoleh kelayakan akademik dan kemahiran pekerjaan. 

Pengalaman German Sport University Cologne di Jerman, misalnya, menunjukkan kepentingan jadual pengajian fleksibel, penyesuaian peperiksaan dan bimbingan individu. Nippon Sport Science University di Jepun pula menyediakan khidmat kaunseling kerjaya, bantuan permohonan pekerjaan dan latihan temu duga.

Malaysia boleh menyesuaikan pendekatan tersebut melalui gabungan laluan akademik dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Atlet boleh mengikuti program diploma atau ijazah, di samping memperoleh persijilan kemahiran daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), mengikut syarat kelayakan. 

Bidang seperti kecergasan, penyelenggaraan peralatan, pengurusan kemudahan sukan, multimedia dan pemasaran digital boleh ditawarkan berdasarkan minat serta permintaan majikan.

Latihan perlu disertai penilaian amali, tenaga pengajar berkelayakan dan pengalaman industri. Sijil penyertaan kursus pendek juga perlu dibezakan daripada kelayakan kemahiran yang diiktiraf. Pada masa sama, jadual pembelajaran hendaklah diselaraskan dengan latihan, pertandingan dan tempoh pemulihan agar atlet tidak terbeban.

Pengalaman sukan turut boleh dimanfaatkan melalui mekanisme pengiktirafan sedia ada. Penilaian Pencapaian Terdahulu JPK serta laluan APEL.A dan APEL.C dalam pendidikan tinggi membolehkan pengalaman dan pembelajaran terdahulu dipertimbangkan, tertakluk pada syarat serta bukti yang ditetapkan.

Universiti ini juga wajar bekerjasama dengan Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) di bawah Majlis Sukan Negara serta MyAthlete Center bagi menyelaraskan sokongan kebajikan, kesihatan mental dan perancangan kerjaya. 

Program rintis bersama universiti, politeknik, kolej komuniti dan pusat latihan bertauliah boleh dimulakan sebelum penubuhan penuh diputuskan.

Kajian kebolehlaksanaan perlu menilai kos operasi, jumlah bakal pelajar, keupayaan tenaga pengajar dan peluang pekerjaan. Pandangan atlet aktif, bekas atlet serta atlet para juga perlu diambil kira. –UTUSAN


DR. MOHD. ZULFADLI ROZALI
Pensyarah Kanan, Atlet dan Jurulatih Sukan Mendayung,
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

The post Universiti sukan perlu jamin masa depan atlet appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved