
PARIS – Perancis menunjukkan semangat juang cukup tinggi ketika bangkit mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Belgium pada aksi Kumpulan A1 Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stade de France awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Belgium terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Dodi Lukebakio sebelum Perancis meledak empat gol hasil jaringan Desire Doue, Rayan Cherki serta dua gol Michael Olise.
Jurulatih Perancis, Zinedine Zidane berkata, anak-anak buahnya menampilkan bola sepak sebenar, terutamanya di separuh masa kedua apabila berjaya meletakkan Belgium dalam situasi sukar.
“Hari ini (semalam), kami bermain sangat baik dan inilah bola sepak sebenar. Kami berdepan aksi cukup sukar di separuh masa pertama, tetapi itulah sebahagian daripada adat dalam bola sepak.
“Bagaimanapun, saya gembira kerana kami berjaya dapatkan tiga mata hari ini (semalam). Saya memuji peranan dimainkan semua pemain kerana menampilkan corak permainan yang sangat baik di separuh masa kedua,” katanya.
Sementara itu, beliau juga berterima kasih dengan peranan dimainkan semua pemain, termasuk pemain gantian yang berjaya mengubah corak permainan pasukan sehingga dapat melakukan kebangkitan dengan empat gol.
“Memang kami tahu dari awal pemain-pemain gantian boleh diharapkan kerana ada kualiti masing-masing. Kemenangan ini adalah hasil kerjasama semua pemain sebagai satu pasukan,” ujar Zidane. – AGENSI
The post UNL: Perancis bangkit cipta kemenangan appeared first on Kosmo Online.




