Untung bersih CIMB Group melonjak 26.2% kepada RM3.42 bilion dalam separuh pertama 2023
diyana
30/08/2023 - 18:35
KUALA LUMPUR 30 Ogos - CIMB Group Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.42 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2023 (1H23), melonjak 26.2% daripada RM2.71 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata prestasi positif didorong oleh pertumbuhan kukuh pendapatan operasi, kawalan ketat kos dan peruntukan lebih rendah memandangkan ia mendapat manfaat daripada portfolio ASEAN yang pelbagai, dengan pertumbuhan perniagaan kukuh di Indonesia dan Singapura.
Sementara itu, pendapatan kumpulan dalam tempoh tersebut meningkat 7.4% kepada RM10.3 bilion berbanding RM9.6 bilion sebelumnya, manakala pendapatan sesaham (EPS) 32 sen, naik daripada 26.26 sen tahun lalu.
Daripada jumlah ini, CIMB Group berkata pendapatan bukan faedah (NOII) mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan peningkatan 32% tahun ke tahun (YoY) kepada RM3.16 bilion, disumbangkan oleh pendapatan berkaitan pasaran dan pendapatan lain yang lebih kukuh.
“Bagaimanapun, pendapatan faedah bersih (NII) menguncup sedikit kepada RM7.17 bilion, disebabkan oleh pemampatan margin faedah bersih (NIM) disebabkan oleh peningkatan kos deposit tetapi sebahagiannya diimbangi oleh momentum pertumbuhan pinjaman yang positif,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut CIMB Group, purata pulangan ekuiti (ROE) tahunan pada 1H23 adalah 10.6%, yang meningkat dengan ketara berbanding 9.1% pada 1H22.
Sehubungan itu, kumpulan tu mencadangkan dividen interim pertama tunai sebanyak 17.50 sen sesaham tahun ini, berjumlah RM1.87 bilion.
“Jumlah pinjaman kasar dan pertumbuhan deposit terus pada trajektori menaik, masing-masing mencatatkan peningkatan 8.3% dan 9.5% YoY, merentasi pasaran utama dan segmen perniagaan.
“Sementara itu, jumlah akaun semasa dan simpanan (CASA) menguncup sedikit YoY tetapi bertambah baik 5.7% QoQ didorong oleh inisiatif serantau yang mula membuahkan hasil. Ini membawa kepada nisbah CASA yang mampan sebanyak 38.5% pada akhir Jun 2023,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata portfolio ASEAN yang pelbagai menunjukkan hasil yang positif, dengan pertumbuhan dipacu daripada operasi Indonesia dan Singapura yang pulih semula, melindungi kumpulan daripada risiko penurunan dalam pasaran yang lebih lemah.
“Kami amat gembira dengan transformasi CIMB Niaga, yang mencapai rekod ROE tertinggi sebanyak 15.4% untuk 1H23. Pencapaian ini mengesahkan rancangan strategik Forward23+ kumpulan untuk membentuk semula portfolio kami sambil kami memanfaatkan kekuatan segmen teras dan pasaran.
“Keutamaan kami adalah untuk melaksanakan pelan strategik ini, terutamanya dalam mengukuhkan francais dan deposit CASA kami untuk membantu menyederhanakan persekitaran deposit yang kompetitif,” ujar beliau. - DagangNews.com

