Untung bersih E&O melonjak 37.1% kepada RM76.1 juta pada 2QFY27, dipacu projek Pulau Andaman

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih E&O melonjak 37.1% kepada RM76.1 juta pada 2QFY27, dipacu projek Pulau Andaman Image from: Untung bersih E&O melonjak 37.1% kepada RM76.1 juta pada 2QFY27, dipacu projek Pulau Andaman hamden26/11/2026 - 14:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - Eastern & Oriental Berhad (E&O) mencatatkan lonjakan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 37.1% kepada RM76.1 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2026 (2QFY2027), berbanding RM55.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan keuntungan itu dicapai apabila hasil kumpulan berkembang 35.8% kepada RM277.6 juta berbanding RM204.4 juta sebelumnya, disokong sumbangan kukuh daripada segmen pembangunan hartanah.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 34.2% kepada RM95.4 juta bagi suku berkenaan.

 

Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY2027), E&O merekodkan PAT sebanyak RM141 juta, meningkat 33.5% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala PBT berkembang 33.2% kepada RM179.1 juta.

 

Hasil kumpulan pula meningkat 44.1% kepada RM559.1 juta berbanding RM387.9 juta sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, E&O berkata, segmen hartanah kekal sebagai penyumbang pendapatan terbesar kumpulan apabila hasilnya meningkat 51.4% kepada RM506 juta, merangkumi 90.5% daripada jumlah hasil bagi 1HFY2027.

 

Pulau Andaman pemacu pertumbuhan

Prestasi itu didorong pengiktirafan hasil dan sumbangan jualan berterusan daripada projek pembangunan sedia ada termasuk The Lume, Maris dan AVÉA di Pulau Andaman serta Seri Embun di Lembah Klang.

 

Sementara itu, segmen hospitaliti menyumbang hasil sebanyak RM52.2 juta bagi tempoh berkenaan.

 

Pulau Andaman kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama E&O apabila projek pembangunan di kawasan itu terus menyumbang kepada hasil hartanah dan prestasi jualan kumpulan.

 

Sebagai projek pembangunan tepi laut utama E&O di Pulau Pinang, Pulau Andaman mencerminkan strategi jangka panjang kumpulan untuk membangunkan destinasi yang menggabungkan kediaman, pengalaman gaya hidup dan ruang bersepadu.

 

Dari segi jualan, E&O mencatatkan jualan hartanah terkumpul sebanyak RM725.4 juta, meningkat 103.8% berbanding RM356 juta yang direkodkan pada suku pertama FY2027.

 

Sehingga 30 September 2026, jualan belum dibilkan kumpulan berjumlah RM1.7 bilion, sekali gus menyediakan saluran hasil masa depan dan menyokong keterlihatan pendapatan bagi beberapa tahun kewangan akan datang.

 

Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, jualan hartanah terkumpul RM725.4 juta bersama-sama jualan belum dibilkan sebanyak RM1.7 bilion menyediakan asas kukuh kepada keterlihatan pendapatan dan pertumbuhan masa depan kumpulan.

 

"Pulau Andaman kekal sebagai sebahagian penting daripada strategi pertumbuhan jangka panjang kami dan mencerminkan visi E&O untuk membangunkan destinasi tersendiri yang berteraskan gaya hidup," katanya.

 

Rancang lancar pembangunan GDV RM1 bilion pada 2HFY27

Mengulas prospek, Kok berkata, E&O akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan saluran pembangunan serta meneroka peluang berdasarkan kehadirannya yang kukuh di Pulau Pinang dan Lembah Klang.

 

Kumpulan turut merancang memperkenalkan penawaran kediaman baharu di Pulau Andaman pada separuh kedua FY2027, dengan projek pembangunan akan datang itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) gabungan sebanyak RM1 bilion.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Pengarah E&O meluluskan dividen interim sebanyak satu sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.

 

Tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 21 Disember 2026, manakala pembayaran akan dibuat pada 19 Januari 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved