hamden21/08/2026 - 14:22 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) mencatat lonjakan keuntungan bersih lima kali ganda kepada RM60.59 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26), disokong prestasi kukuh segmen kejuruteraan berat.
Keuntungan bersih itu meningkat daripada RM10.06 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil melonjak kepada RM986.73 juta berbanding RM431.57 juta sebelumnya.
MMHE berkata, segmen kejuruteraan berat menjadi penyumbang utama prestasi tersebut apabila projek-projek yang sedang dilaksanakan memasuki fasa pembinaan lebih tinggi, selain pemuktamadan projek selepas sail-away.
Segmen itu mencatat hasil RM870.2 juta, meningkat RM560.2 juta berbanding suku sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan operasi melonjak kepada RM62 juta daripada hanya RM1.5 juta.
Bagi segmen marin pula, keuntungan operasi susut kepada RM7.5 juta daripada RM11 juta setahun sebelumnya, apabila hasil berkurangan RM5.1 juta kepada RM116.6 juta.
Menurut kumpulan, penurunan itu terutama disebabkan jumlah kerja pembaikan kapal yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi hasil lebih tinggi daripada projek penukaran kapal.
Sementara itu, usaha sama kumpulan mencatat kerugian pada suku berkenaan berikutan projek penukaran kapal yang masih berada pada peringkat awal pelaksanaan.
Pendekatan Strategik dan Selektif
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26), MMHE mencatat keuntungan bersih RM74.89 juta, lebih tiga kali ganda berbanding RM22.29 juta pada 1HFY25.
Hasil bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM1.51 bilion daripada RM884.67 juta sebelumnya.
MMHE berkata, prospek industri tenaga global kekal dinamik berikutan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang berubah-ubah serta peralihan keutamaan pelaburan.
"Keprihatinan yang meningkat terhadap keselamatan tenaga dan kebolehpercayaan bekalan terus mempengaruhi keputusan peruntukan modal, dengan pelaburan terpilih dalam pembangunan huluan dan infrastruktur tenaga dijangka menyokong aktiviti industri serta mewujudkan peluang kepada kumpulan," katanya.
Sejajar perkembangan itu, segmen kejuruteraan berat akan terus mengamalkan pendekatan strategik dan selektif dalam mendapatkan buku tempahan berkualiti tinggi merangkumi sektor tenaga konvensional dan tenaga baharu, di dalam serta luar negara.
Pendekatan berkenaan bertujuan memastikan portfolio kumpulan kekal seimbang, selain mengekalkan disiplin kukuh dalam pelaksanaan projek.
Bagi segmen marin, MMHE menjangkakan permintaan jangka panjang bagi kerja pembaikan kapal kekal berdaya tahan, disokong keperluan dry-docking kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) susulan kepentingan rantaian nilai LNG yang semakin meningkat.
Kumpulan akan terus memperkukuh kehadiran dalam segmen pasaran sasaran, selain memanfaatkan perubahan corak perkapalan serantau dan peluang pasaran baharu.
Dalam pada itu, usaha pemodenan limbungan berjalan lancar bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan daya saing kumpulan.
MMHE berkata, inisiatif tersebut dijangka menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan serta keupayaannya menawarkan penyelesaian bernilai tambah kepada pelanggan. - DagangNews.com






