amree21/08/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos — Sarawak Plantation Berhad (SPB) mencatatkan prestasi kewangan positif dengan untung bersih bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26) melonjak 45% kepada RM39.05 juta.
Seiring dengan prestasi mantap ini, Lembaga Pengarah syarikat perladangan tersebut mengumumkan pengagihan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 7.5 sen sesaham kepada pemegang saham yang layak.
Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pencapaian memberangsangkan ini dicatatkan di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik, serta turun naik harga tenaga yang melanda pasaran.
"Meskipun berdepan peningkatan kos operasi, prospek SPB kekal positif disokong kuat kestabilan harga minyak sawit mentah (MSM) serta peningkatan permintaan biofuel hasil pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia dan inisiatif biodiesel berterusan di Malaysia," katanya.
Mengikut laporan kewangan interim tidak diaudit bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, syarikat ini turut merekodkan lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM51.77 juta, meningkat sangat memberangsangkan berbanding RM36.76 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Prestasi luar biasa ini didorong terutamanya peningkatan volum jualan MSM sebanyak 3.4% dan isirung sawit (PK) sebanyak 11.9%. Selain itu, harga jualan purata direalisasikan lebih tinggi bagi dua komoditi tersebut, masing-masing meningkat 10.1% bagi MSM dan 7.2% bagi PK, sekali gus turut menjadi pemangkin utama kepada lonjakan pendapatan suku kedua ini.

Hasil keseluruhan SPB bagi suku kedua naik kepada RM147.30 juta daripada RM130.98 juta dilaporkan pada suku kedua tahun 2025, manakala keuntungan operasi sebelum cukai mencatatkan peningkatan ketara kepada RM43.71 juta berbanding RM27.75 juta bagi tempoh perbandingan sebelumnya.
"Keuntungan bersih yang kukuh ini diterjemahkan kepada pendapatan asas sesaham kumpulan 14.00 sen bagi suku tahun di bawah tinjauan. Jumlah ini menunjukkan lonjakan ketara berbanding pendapatan sesaham 9.63 sen yang dicatatkan pada suku kedua tahun sebelumnya," katanya.
Bagi prestasi terkumpul separuh pertama tahun kewangan 2026, SPB merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) terkumpul RM83.88 juta. Angka ini menunjukkan peningkatan yang sihat berbanding RM67.74 juta yang dicatatkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun lepas.
Mengulas mengenai prospek masa hadapan, pengurusan SPB komited mengekalkan pengurusan kewangan yang berhemat dan kecekapan operasi. Melalui inisiatif pengurusan kos yang ketat, syarikat bersedia untuk menangani sebarang impak peningkatan kos serta risiko perniagaan, selain terus memfokuskan usaha bagi memacu produktiviti dan hasil pengeluaran.
Dalam perkembangan korporat yang lain, anak syarikat milikan penuhnya sudah menyelesaikan pelaburan berjumlah RM300,000 bagi memperoleh 10% kepentingan ekuiti dalam syarikat Agritech Research & Innovations Sdn Bhd pada Ogos 2026.
Sementara itu, pembayaran dividen interim kedua sebanyak 7.5 sen sesaham yang melibatkan agihan RM21 juta dijadualkan dibayar kepada pemegang saham pada 29 September 2026. - DagangNews.com






