hamden26/05/2026 - 15:43 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Mei - Cahya Mata Sarawak Berhad merekodkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM24.08 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM25.34 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan itu berkata, penurunan lima peratus tersebut sebahagian besarnya disebabkan pelarasan kredit cukai sekali sahaja berjumlah RM7.3 juta yang direkodkan pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat 13.1% kepada RM278.45 juta daripada RM246.1 juta sebelum ini, didorong aktiviti infrastruktur yang lebih tinggi di Sarawak.
Menurut syarikat itu, unit perniagaan strategik (SBU) simen mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 12.5%, manakala SBU bahan pembinaan dan perdagangan melonjak 192.5%.
SBU pembangunan hartanah turut merekodkan pertumbuhan hasil disokong kemajuan pembinaan projek bernilai RM550 juta bagi kontrak Borneo Convention Centre Kuching 2.
Namun begitu, prestasi itu sebahagiannya diimbangi oleh penyusutan 3.1% hasil SBU penyelenggaraan jalan akibat jumlah kerja siap yang lebih rendah bagi kerja diarahkan sepanjang suku tersebut.
Selain itu, hasil SBU oiltools merosot 45.7% susulan penyiapan beberapa kontrak serta pengurangan aktiviti pelantar di kebanyakan pasaran operasinya.
Sehingga 31 Mac 2026, kumpulan itu mengekalkan kedudukan tunai bersih dengan jumlah tunai dan baki bank sebanyak RM585.5 juta melebihi jumlah pinjaman RM224.1 juta. Nisbah gearing syarikat berada pada paras rendah iaitu 0.08 kali.
Mengulas prospek semasa, Cahya Mata Sarawak berkata konflik geopolitik di Timur Tengah telah menyebabkan peningkatan kos bahan mentah, logistik dan diesel yang memberi tekanan kepada kos operasi serta margin unit berkaitan infrastruktur.
“Risiko geopolitik yang semakin meningkat telah mewujudkan ketidaktentuan kos tambahan dalam sektor ini yang mungkin memberi kesan kepada aktiviti ekonomi.
“Kumpulan sedang memantau keadaan pasaran secara aktif dan melaksanakan langkah mitigasi sewajarnya bagi mengurus tekanan kos serta melindungi margin,” katanya. - DagangNews.com






