sarah27/11/2026 - 17:49 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Nov - Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 34% kepada RM2.26 bilion pada suku ketiga 2026, ketika kumpulan memperkukuh kapasiti penjanaan elektriknya susulan pemulihan operasi aset utama.
Pendapatan kumpulan meningkat RM571.7 juta berbanding RM1.69 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya, didorong bayaran tenaga lebih tinggi daripada stesen jana kuasa arang batu di Johor susulan kenaikan harga komoditi itu.
Peningkatan penjanaan elektrik di stesen jana kuasa gas di Lumut, Perak, mengikut jadual yang ditetapkan pengendali sistem grid turut menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan.
Bagaimanapun, keuntungan bersih Malakoff susut sedikit kepada RM27.8 juta berbanding RM28.2 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya berikutan gangguan operasi Unit 30 di Stesen Jana Kuasa Tanjung Bin sebelum ini serta ketiadaan pembalikan peruntukan tertentu.
Pemulihan operasi perkukuh kapasiti penjanaan
Malakoff dalam kenyataan hari ini berkata, Stesen Jana Kuasa Tanjung Bin kembali kepada kapasiti penjanaan penuh selepas Unit 30 menyambung semula operasi pada 9 Ogos 2026.
Pemulihan itu disusuli pengoperasian komersial Stesen Jana Kuasa GB3 berkapasiti 429 megawatt (MW) di Perak pada 7 Oktober 2026, hampir tiga bulan lebih awal daripada jadual asal pada 1 Januari 2027.
Perkembangan tersebut menjadikan Malakoff kini mempunyai tujuh stesen jana kuasa yang beroperasi di Malaysia, termasuk Stesen Jana Kuasa Kapar yang dimiliki secara bersama, dengan jumlah kapasiti gabungan sebanyak 7,382MW.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, pemulihan operasi aset penjanaan meletakkan kumpulan pada kedudukan lebih kukuh menjelang penghujung 2026.
Beliau turut memberi jaminan bahawa insiden melibatkan sistem tali sawat penyampai arang batu di Kompleks Tanjung Bin baru-baru ini tidak menjejaskan operasi kedua-dua stesen jana kuasa arang batu kumpulan yang mempunyai kapasiti gabungan 3,100MW.
Kapasiti hidro Kelantan meningkat kepada 95.67MW
Malakoff turut memperkukuh portfolio tenaga boleh diperbaharuinya selepas Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) meluluskan peningkatan kapasiti dan tarif yang lebih baik bagi tiga stesen jana kuasa hidro kumpulan di Kelantan.
Kelulusan itu meningkatkan jumlah kapasiti terpasang gabungan ketiga-tiga stesen jana kuasa berkenaan kepada 95.67MW, sekali gus memperkukuh portfolio tenaga boleh diperbaharui kumpulan.
Syahrunizam berkata, permintaan elektrik Malaysia terus meningkat seiring pengembangan sektor perindustrian dan pendigitalan, sekali gus memerlukan kapasiti penjanaan yang boleh diharapkan bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik negara.
Alam Flora peroleh kontrak baharu, keuntungan meningkat 28%
Dalam segmen penyelesaian alam sekitar, Kumpulan Alam Flora mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM22.5 juta pada suku ketiga 2026, meningkat 28% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, disokong pengurusan kos yang berkesan.
Segmen yang menyumbang kira-kira 10% kepada pendapatan Malakoff itu turut memperoleh beberapa kontrak baharu meliputi infrastruktur sektor awam, kemudahan perindustrian dan operasi pergudangan, yang dijangka menyokong pertumbuhan berterusannya.
Malakoff menerusi anak syarikatnya, Sungai Udang WTE Sdn Bhd, juga sedang menubuhkan Program Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN bernilai RM700 juta bagi membiayai sebahagian pembinaan kemudahan penjanaan tenaga daripada sisa pertama di Melaka, yang berupaya merawat sehingga 1,056 tan sisa pepejal perbandaran sehari apabila siap pada 2029. - DagangNews.com






