johardy25/09/2026 - 08:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept - Untung bersih MyNews Holdings Berhad susut 40.5% kepada RM3.83 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Julai 2026, berbanding RM6.43 juta setahun lalu, apabila peningkatan kos operasi mengatasi pertumbuhan jualan.
Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, hasil syarikat meningkat 9% kepada RM251.76 juta daripada RM230.94 juta, disokong pertambahan cawangan dan peningkatan jualan di kedai.
Jumlah cawangan MyNews meningkat kepada 685 berbanding 659 setahun lalu.
Perbelanjaan pentadbiran naik 21.5% kepada RM10.87 juta berikutan pelaburan berterusan dalam teknologi dan tenaga kerja bagi usaha pendigitalan. Perbelanjaan jualan dan pengedaran pula meningkat 9% kepada RM50.86 juta sejajar dengan pertambahan cawangan.
Perbelanjaan lain naik 17.6% kepada RM25.8 juta, mencerminkan susut nilai lebih tinggi daripada perbelanjaan modal baharu serta hapus kira berkaitan penutupan kedai yang kurang berprestasi.
Untung meningkat berbanding Q2
Berbanding suku sebelumnya, untung bersih meningkat daripada RM55,000. Hasil naik 11.4% daripada RM225.97 juta, disokong cuti sekolah dan pemulihan kunjungan pelanggan selepas Ramadan.
Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, untung bersih yang boleh diatribusikan kepada pemegang saham turun kepada RM7.95 juta daripada RM12.57 juta. Hasil meningkat kepada RM716.16 juta daripada RM649.37 juta.
MyNews berkata, pihaknya optimis tetapi berhati-hati terhadap baki tahun kewangan ini. Syarikat akan memberi tumpuan kepada peluasan dan penambahbaikan rangkaian kedai, memperkukuh tawaran makanan segar melalui kemudahan pengeluarannya serta mempercepat usaha pendigitalan.
Tiada dividen diumumkan bagi suku ketiga. Saham MyNews ditutup tidak berubah pada 42.5 sen pada Khamis. - DagangNews.com






