Untung bersih Pavilion REIT naik 17% pada suku pertama 2026 dipacu aset hotel baharu

LocalBusiness & Finance
7 May 2026 • 5:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Pavilion REIT naik 17% pada suku pertama 2026 dipacu aset hotel baharu Image from: Untung bersih Pavilion REIT naik 17% pada suku pertama 2026 dipacu aset hotel baharu liza07/05/2026 - 17:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Mei – Pavilion Real Estate Investment Trust mencatat prestasi lebih kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 dengan peningkatan pendapatan dan keuntungan bersih dipacu oleh sumbangan aset baharu serta prestasi stabil segmen runcit.

 

REIT itu merekodkan jumlah hasil RM245.9 juta, meningkat 8% berbanding RM228.2 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata peningkatan tersebut didorong terutamanya oleh pendapatan sewa daripada aset hotel baharu iaitu Banyan Tree Kuala Lumpur dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur yang diperoleh pada Jun 2025.

 

“Selain itu, pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil turut menyumbang kepada pertumbuhan hasil disokong kadar penghunian yang kukuh serta peningkatan hasil pengiklanan di Elite Pavilion Mall.

 

“Segmen runcit kekal sebagai penyumbang terbesar dengan prestasi stabil daripada aset utama seperti Pavilion Kuala Lumpur Mall, Pavilion Bukit Jalil dan Intermark Mall.

 

“Walaupun terdapat peningkatan hasil, kos operasi hanya naik sedikit sebanyak 2% kepada RM87 juta berbanding RM85.4 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.

 

Kenaikan kos itu disebabkan perbelanjaan penyelenggaraan lebih tinggi termasuk naik taraf sistem keselamatan serta kerja baik pulih lampu dan bumbung, namun sebahagiannya diimbangi oleh penurunan kos elektrik.

 

Hasil daripada prestasi tersebut, pendapatan bersih hartanah Pavilion REIT meningkat 11% kepada RM158.9 juta berbanding RM142.8 juta pada suku sama tahun lalu.

 

t

 

Keuntungan bersih selepas cukai turut meningkat kepada RM105.8 juta, naik 17% berbanding RM90.4 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan boleh agih pula direkodkan pada RM110.3 juta, bersamaan 2.80 sen sesaham, yang akan diagihkan kepada pemegang unit pada tempoh pengagihan akan datang.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset Pavilion REIT meningkat kepada RM9.72 bilion manakala jumlah liabiliti berada pada RM4.32 bilion dengan nisbah gearing 40.5%.

 

Pengurusan REIT menjelaskan strategi pengurusan aset dan pengoptimuman portfolio terus menyokong pertumbuhan pendapatan serta kestabilan aliran tunai jangka panjang.

 

Dalam masa sama, beberapa aset menunjukkan prestasi bercampur, termasuk DA MEN Mall yang mencatat penurunan ketara dalam pendapatan berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan cabaran pada segmen tertentu.

 

Dari sudut leverage, REIT ini merekodkan hutang keseluruhan sekitar RM4.32 bilion dengan nisbah gearing 40.5%, yang masih dalam julat terkawal bagi sektor REIT di Malaysia.

 

“Walaupun hotel baharu memberi sumbangan positif, tahap penghunian masih dalam fasa pemulihan dengan prestasi pelancongan yang belum kembali sepenuhnya stabil.

 

“Prospek jangka pendek dijangka dipengaruhi oleh ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah yang boleh memberi kesan kepada kos tenaga, rantaian bekalan dan keyakinan pengguna.

 

“Namun begitu, permintaan domestik serta aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka terus menyokong pertumbuhan sederhana sektor runcit dan hospitaliti,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article