Untung bersih Public Bank suku kedua naik kepada RM1.82 bilion, dividen interim 10.5 sen

Business & Finance
26 Aug 2026 • 3:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Untung bersih Public Bank suku kedua naik kepada RM1.82 bilion, dividen interim 10.5 sen
Pendapatan turut meningkat kepada RM7.61 bilion daripada RM7.35 bilion.

PUBLIC Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM1.82 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat RM64.4 juta atau 3.7 peratus berbanding RM1.76 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Pendapatan turut meningkat kepada RM7.61 bilion daripada RM7.35 bilion.

Public Bank memaklumkan prestasi lebih baik itu sebahagian besarnya disumbangkan peningkatan pendapatan bukan faedah sebanyak RM165.7 juta atau 21.3 peratus, terutama berikutan peningkatan jualan unit amanah dan pendapatan yuran pengurusan unit amanah yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, peningkatan itu sebahagiannya diimbangi oleh kemerosotan nilai pinjaman/pembiayaan yang lebih tinggi sebanyak RM81.1 juta susulan normalisasi caj kredit serta peningkatan perbelanjaan operasi lain sebanyak RM26.3 juta atau 2.0 peratus.

Menurut bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pendapatan komprehensif lain bersih kumpulan bagi suku semasa berjumlah RM81 juta berbanding kerugian komprehensif lain bersih RM272.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

"Varians positif itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh keuntungan daripada terjemahan operasi asing berbanding kerugian pada suku sama tahun sebelumnya, serta kerugian yang lebih rendah daripada lindung nilai aliran tunai.

"Ini sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan yang lebih rendah daripada penilaian semula pelaburan kewangan,” menurutnya.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, keuntungan bersih Public Bank meningkat kepada RM3.58 bilion daripada RM3.51 bilion, manakala pendapatan meningkat kepada RM14.93 bilion daripada RM14.67 bilion.

Jumlah pinjaman kumpulan meningkat pada kadar tahunan sebanyak 5.9 peratus kepada RM458.9 bilion, manakala jumlah deposit pelanggan berkembang 4.7 peratus kepada RM457.6 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata, dalam suasana ketidaktentuan global yang berterusan, khususnya di Asia Barat, bank itu menyedari potensi kesannya terhadap pelanggan menerusi harga tenaga, inflasi serta sentimen pengguna dan perniagaan.

Mengenai prospek, beliau berkata, Public Bank akan terus berwaspada dalam pendekatan perniagaannya berdepan cabaran global yang ketara.

"Kumpulan terus melihat peluang yang semakin berkembang hasil daripada ekonomi domestik yang berdaya tahan dan akan terus memperkukuh keupayaan terasnya bagi mengoptimumkan nilai kepada pihak berkepentingan,” katanya.

Public Bank turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10.5 sen sesaham, disokong pendapatan kumpulan yang berdaya tahan dan kedudukan modal yang kukuh, dengan jumlah pembayaran RM2.04 bilion. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved