Untung kilang proses buah sawit melonjak 39.7%, hasil Kim Loong dijangka neningkat pada FY27 – AmInvest

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 12:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung kilang proses buah sawit melonjak 39.7%, hasil Kim Loong dijangka neningkat pada FY27 – AmInvest Image from: Untung kilang proses buah sawit melonjak 39.7%, hasil Kim Loong dijangka neningkat pada FY27 – AmInvest liza30/09/2026 - 12:55 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Sept – Kim Loong Resources Berhad (KLR) dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan lebih baik pada FY27 apabila harga minyak sawit mentah (CPO) yang lebih tinggi menyokong prestasi kumpulan, ditambah peningkatan keuntungan daripada operasi pemprosesan kelapa sawit, kata AmInvestment Bank.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan anggaran keuntungan bersih teras KLR bagi FY28 sebanyak 8.4% kepada RM219.4 juta daripada RM202.4 juta sebelum ini, susulan semakan naik andaian harga purata CPO kepada RM4,800 setan berbanding RM4,400 setan.

 

AmInvest berkata fenomena El Niño dan pelaksanaan dasar biodiesel B50 di Indonesia juga akan terus menyokong harga CPO, sekali gus memberi manfaat kepada KLR sebagai syarikat perladangan yang mempunyai pendedahan langsung kepada harga komoditi berkenaan.

 

Bagi 1HFY27, untung bersih KLR meningkat 12.2% tahun ke tahun kepada RM100.1 juta, didorong perbelanjaan operasi yang lebih rendah serta peningkatan keuntungan daripada operasi pemprosesan kelapa sawit.

 

Keuntungan operasi pemprosesan melonjak 39.7% kepada RM78.8 juta dalam tempoh sama, disokong peningkatan caj pemprosesan, kadar pengekstrakan minyak serta inventori sebanyak 9,100 tan yang dibawa ke hadapan.

 

AmInvest berkata KLR mungkin menaikkan caj pemprosesan sebanyak RM10 kepada RM105 setan pada awal tahun ini susulan peningkatan kos pengangkutan dan pematuhan.

 

Operasi pemprosesan menyumbang 55% kepada EBIT KLR bagi 1HFY27, manakala bahagian perladangan menyumbang baki 45%.

 

Pengeluaran buah sawit merosot

Bagaimanapun, keuntungan bahagian perladangan susut 24.1% tahun ke tahun kepada RM65.1 juta dalam 1HFY27, meskipun harga purata CPO direalisasikan meningkat 3.2% kepada RM4,426 setan daripada RM4,288 setan.

 

Pengeluaran buah tandan segar (FFB) pula merosot 17.8% kepada 136,901 tan, berikutan tekanan terhadap pokok selepas pertumbuhan pengeluaran sebanyak 6.4% pada FY26.

 

Namun, pengeluaran FFB pada 2QFY27 meningkat 12.4% berbanding suku sebelumnya kepada 72,437 tan, menunjukkan pemulihan daripada 64,464 tan pada 1QFY27.

 

Unjuran keuntungan disemak

AmInvest mengekalkan anggaran untung bersih KLR bagi FY27 pada RM201.0 juta, manakala anggaran FY28 dinaikkan kepada RM219.4 juta dan FY29 kepada RM220.7 juta.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan dividen sesaham kasar sebanyak 15 sen bagi FY27 berbanding 14 sen pada FY26, yang memberikan hasil dividen sekitar 5.5%.

 

AmInvest turut mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM3.55 sesaham berbanding RM3.30 sebelum ini, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) 16 kali bagi CY27.

 

Ketika ini KLR mengendalikan tiga kilang pemprosesan kelapa sawit dengan kapasiti keseluruhan 240 tan sejam di Keningau, Telupid dan Kota Tinggi, selain tiga loji biogas yang menjana elektrik untuk dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Pokok tua jadi risiko jangka panjang

AmInvest berkata penilaian KLR mengambil kira diskaun berbanding purata lima tahun kerana sebahagian besar pokok kelapa sawit syarikat semakin berusia, yang berpotensi menjejaskan hasil FFB dalam jangka panjang.

 

Antara risiko utama ialah pengeluaran FFB yang lebih rendah daripada jangkaan serta penurunan harga CPO, dengan anggaran keuntungan bersih KLR boleh susut sekitar 5% hingga 7% bagi setiap penurunan RM100 setan harga CPO.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved