PublicInvest optimis VS Industry kembali untung pada FY27 disokong tempahan produk baharu pelanggan

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 9:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PublicInvest optimis VS Industry kembali untung pada FY27 disokong tempahan produk baharu pelanggan Image from: PublicInvest optimis VS Industry kembali untung pada FY27 disokong tempahan produk baharu pelanggan liza30/09/2026 - 09:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Sept – VS Industry Berhad dijangka kembali mencatat keuntungan bersih pada tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 (FY2027) didorong peningkatan jualan daripada lebih banyak model yang diterima daripada pelanggan utama, kadar penggunaan kapasiti yang lebih baik serta kawalan kos.

 

PublicInvest Research berkata, pemulihan keuntungan itu turut disokong usaha syarikat meningkatkan kecekapan operasi dan mengamalkan pengeluaran secara cekap selain sebahagian besar caj kemerosotan nilai aset dijangka telah direkodkan pada FY2026.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan hasil VS meningkat kepada RM3.96 bilion pada FY2027 berbanding RM3.65 bilion pada FY2026 sebelum meningkat lagi kepada RM4.26 bilion pada FY2028 dan RM4.31 bilion pada FY2029.

 

Jangkaan itu dibuat selepas VS mencatat kerugian bersih RM55.3 juta bagi FY2026 berbanding keuntungan bersih RM36.7 juta pada FY2025.

 

Bagi suku keempat FY2026 (4QFY26), kerugian bersih teras syarikat bagaimanapun mengecil 33.5% tahun ke tahun kepada RM22 juta daripada RM33 juta pada 4QFY25.

 

Hasil 4QFY26 turut meningkat 16.3% tahun ke tahun kepada RM998.6 juta, disokong peningkatan tempahan daripada pelanggan utama dan pertumbuhan merentasi semua segmen operasi.

 

Jualan Malaysia dan Filipina meningkat

Menurut PublicInvest, hasil segmen Malaysia meningkat 30% tahun ke tahun kepada RM775.8 juta pada 4QFY26, manakala hasil Filipina melonjak 304% kepada RM137.2 juta.

 

Hasil operasi Indonesia turut meningkat 13% kepada RM85.7 juta, menunjukkan peningkatan jualan di ketiga-tiga pasaran utama VS pada suku tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tempahan pelanggan utama susut antara punca VS Industry rugi RM55 juta pada FY26

 

Walaupun jualan meningkat, prestasi syarikat masih terjejas caj kemerosotan nilai hartanah, loji dan peralatan (PPE) sebanyak RM39.7 juta berbanding RM7.1 juta pada 4QFY25.

 

PublicInvest berkata, peningkatan jualan pada suku tersebut sebahagiannya diimbangi caj kemerosotan nilai yang lebih tinggi, menyebabkan syarikat masih merekodkan kerugian.

 

Bagi operasi Filipina, kerugian sebelum cukai mengecil 86% tahun ke tahun kepada RM3 juta daripada RM20.5 juta, didorong kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi susulan peningkatan pengeluaran.

 

Prospek masih berdepan risiko global

PublicInvest bagaimanapun mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap prospek jangka pendek VS susulan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan yang masih berlarutan.

 

Firma itu berkata hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Iran tidak menunjukkan tanda pemulihan, manakala kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) turut memberi tekanan kepada ekonomi global, keyakinan pengguna dan perbelanjaan mengikut budi bicara.

 

Dalam masa sama, PublicInvest menjangkakan VS mendapat manfaat daripada lebih banyak model yang diterima daripada pelanggan utama, selain peningkatan kecekapan operasi dan kawalan kos yang berdisiplin.

 

PublicInvest mengunjurkan VS mencatat keuntungan bersih RM51.9 juta pada FY2027, sebelum meningkat kepada RM79.3 juta pada FY2028 dan RM81.6 juta pada FY2029.

 

Bagaimanapun, PublicInvest mengekalkan penarafan Neutral terhadap VS dengan harga sasaran RM0.21 berbanding harga semasa RM0.235.

 

VS merupakan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (Electronics Manufacturing Services) terbesar di Malaysia dan antara pemain utama dalam industri berkenaan di ASEAN. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved