Upah sehingga RM600 bakar kereta, lima Geng Atan dicekup

LocalPolitics
5 May 2026 • 2:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Upah sehingga RM600 bakar kereta, lima Geng Atan dicekup
Adzli (kanan) menunjukkan barang rampasan susulan penahanan ahli Geng Atan pada sidang media di IPK Kedah pada Selasa.

ALOR SETAR – Kegiatan sindiket along dikenali sebagai ‘Geng Atan’ yang menjadikan ugutan membakar kenderaan dan menyimbah cat sebagai taktik menekan mangsa akhirnya terbongkar apabila lima individu termasuk pasangan suami isteri diberkas polis dalam beberapa serbuan berasingan sejak hujung April lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 43 tahun dipercayai bertindak sebagai ‘budak suruhan’ atau pelaksana kepada sindiket terbabit yang aktif di sekitar Sungai Petani sejak Februari lalu.

Menurutnya, kumpulan berkenaan menerima arahan daripada dalang utama yang masih bebas, sebelum melaksanakan pelbagai bentuk ugutan jenayah terhadap mangsa pinjaman tidak berlesen.

“Mereka diupah antara RM300 hingga RM600 bagi setiap tugasan, termasuk menghantar nota amaran, menyimbah cat dan membakar kenderaan mangsa yang gagal melunaskan pinjaman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan bermula susulan laporan seorang lelaki berusia 27 tahun pada 16 April lalu selepas keretanya dibakar di hadapan rumah akibat gagal membayar pinjaman along yang dibuat secara dalam talian.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah melancarkan operasi bersepadu bermula 26 April lalu.

“Hasil beberapa siri serbuan, kita berjaya menahan empat lelaki dan seorang wanita. Saringan awal mendapati semua suspek positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Menurut Adzli, sindiket itu turut dikesan merekrut individu lain termasuk penagih dadah bagi menjalankan kegiatan ugutan, sekali gus menjadikan mereka sebagai ‘alat’ untuk menakut-nakutkan mangsa.

Dengan penahanan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 11 kes berkaitan yang dilaporkan di sekitar kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut masih diburu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, Adzli menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan pinjaman along yang boleh membawa padah.

“Seperti kes ini, mangsa pinjam RM200 tetapi hanya terima RM150. Walaupun sudah membuat bayaran, dia tetap diganggu dan diugut. Ini realiti bahaya pinjaman tidak berlesen,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Adzli berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun bersama beberapa senjata api asli dan tiruan dalam satu serbuan di sebuah premis membaiki kenderaan di Baling pada 1 Mei lalu.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai mekanik ditahan bersama dua pucuk pistol, dua laras senapang angin, satu pucuk pistol tiruan, peluru hidup, biji bebola besi dan beberapa barangan lain.

“Siasatan awal mendapati suspek membeli senjata api berkenaan daripada rakannya di negara jiran manakala membuat senapang angin berkenaan sendiri.

"Suspek memaklumkan bahawa kesemua senjata api berkenaan adalah untuk koleksi peribadinya sendiri,” katanya.

Tambahnya, saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan telah ditahan reman sehingga Khamis ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.