Polis Terengganu bongkar sindiket palsu MyKad

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis Terengganu bongkar sindiket palsu MyKad
Mohd Khairi (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Rabu.

​KUALA TERENGGANU - Taktik licik dua lelaki yang menjalankan kegiatan memalsukan kad pengenalan (MyKad) sejak setahun lalu terbongkar selepas lokasi kegiatan mereka diserbu polis.

​Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kegiatan itu dikesan selepas serbuan berkaitan kes dadah di sebuah rumah di Besut kira-kira jam 10.05 malam, 23 April lalu.

​Menurutnya, pemeriksaan lanjut di lokasi tersebut membawa kepada penemuan pelbagai peralatan komputer yang digunakan untuk mencetak dokumen pengenalan diri palsu bagi tujuan penipuan kewangan.

​"Siasatan awal mendapati suspek berusia 39 tahun itu mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan dan pernah bekerja dengan sebuah syarikat IT serta menjalankan kegiatan itu bersama seorang lagi rakannya yang berusia 35 tahun.

​"Modus operandi mereka menggunakan nama dan nombor kad pengenalan milik individu sebenar, tetapi gambar pada MyKad tersebut telah diubah serta tidak sepadan dengan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

​Beliau berkata, setakat ini polis mengenal pasti 12 kes melibatkan permohonan menggunakan MyKad palsu dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM40,000.

​"Polis juga telah memanggil individu yang maklumat peribadi disalahgunakan dan kesemuanya mengesahkan MyKad yang dirampas itu bukan milik mereka serta tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan maklumat tersebut," jelasnya.

Beliau berkata, ​antara barangan yang dirampas dalam serbuan tersebut termasuk dua unit komputer riba, dua unit pencetak, sebuah mesin laminat, 110 keping kad kosong, 12 keping MyKad palsu, dua lesen memandu, pelbagai telefon bimbit serta wang tunai RM550.

​Mengulas lanjut, Mohd Khairi memberitahu, kedua-dua suspek yang berasal dari Besut itu turut mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

​"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

​"Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 serta Seksyen 420 dan 468 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan pemalsuan dokumen," jelasnya.

​Tambah beliau, tempoh reman kedua-dua suspek selama tujuh hari berakhir esok dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan di Mahkamah Majistret Besut pada Khamis.