Beli hartanah UDA, menang rumah dan ganjaran menarik

3 Sep 2026 • 7:21 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Beli hartanah UDA, menang rumah dan ganjaran menarik

KUALA LUMPUR: Pembeli hartanah UDA Holdings Berhad (UDA) berpeluang memenangi sebuah unit kediaman Residensi Dedaun di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras bernilai RM508,000 menerusi kempen pemilikan rumah nasional, Bonanza Memenuhi Impian 2026.

Kempen berskala nasional yang berlangsung sehingga 31 Disember 2026 itu menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada pembeli hartanah terpilih di bawah agensi seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berkenaan.

Inisiatif ini merupakan kesinambungan serta penambahbaikan daripada kempen UDA Own A Home, Drive Your Dreams yang diperkukuh bagi memberi peluang kepada orang ramai memiliki kediaman sambil menikmati ganjaran istimewa.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Sri Ahmad Fuaad Kenali berkata, kempen berkenaan dilancarkan bagi menyokong aspirasi pemilikan hartanah negara selaras dengan usaha membangunkan komuniti yang inklusif serta mampan.

“UDA akan terus membangunkan hartanah yang memenuhi keperluan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Menerusi kempen ini, pembeli berpeluang menikmati ganjaran istimewa apabila memiliki hartanah kediaman atau komersial UDA yang bersesuaian dengan keperluan mereka di pelbagai lokasi di seluruh negara,” katanya semasa majlis pelancaran kempen berkenaan di sini semalam.

Majlis pelancaran kempen berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi UDA Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Annuar Zaini bersama barisan pengurusan kanan UDA.

Sebanyak 21 projek pembangunan kediaman dan komersial UDA di seluruh Malaysia terlibat dalam kempen ini merangkumi pelbagai variasi lokasi, julat harga dan gaya hidup.

Antara pembangunan kediaman yang mengambil bahagian di Lembah Klang termasuk Residensi Dedaun, Residensi 38 Bangsar dan Residensi Akasia Raya.

Bagi wilayah Utara dan Pantai Timur, ia melibatkan Amaanee Residences dan Eight & Eight Condominium di Pulau Pinang, Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin (Kedah), Taman Sena Permai (Perlis), serta Pelindung Heights dan Sena @ KTGR (Pantai Timur).

Turut terlibat ialah projek di Selatan dan Timur Malaysia seperti UDA Heights, UDA Vista, Residensi Mutiara dan Residensi Sedili di Johor, serta Neu Pendington di Kuching, Sarawak.

Sempena pelancaran kempen tersebut, UDA mengadakan Cabutan Merdeka yang menawarkan sebuah kenderaan elektrik Proton e.MAS 5 bernilai RM139,780 dan lima ganjaran perjalanan MHflypass Zon 3 kepada pembeli yang layak.

Seterusnya, Cabutan Ulang Tahun Ke-55 UDA yang dijangka berlangsung pada November 2026 bakal menawarkan sebuah lagi Proton e.MAS 5 serta lima hadiah emas Habib seberat lima gram setiap satu bernilai RM3,336.67 setiap satu.

Cabutan hadiah utama yang dijadualkan pada April 2027 akan menyaksikan 10 pembeli memenangi emas Habib seberat lima gram, selain seorang pemenang bertuah membawa pulang unit kediaman Residensi Dedaun.

Untuk layak menyertai cabutan, pembeli perlu membuat pembelian hartanah UDA yang terpilih dalam tempoh kempen serta memenuhi syarat tempahan, Perjanjian Jual Beli (SPA) dan pembayaran yang ditetapkan. – UTUSAN

The post Beli hartanah UDA, menang rumah dan ganjaran menarik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved