
YAN – Seorang peniaga warung di Ulu Sedaka, di sini terkejut apabila mendapati air banjir sudah memenuhi lantai rumahnya sebaik sahaja turun dari katil, awal pagi semalam.
Menurut Mat Desa Abu Hassan, 63, dia hanya menyedari kejadian ketika bangun tidur kira-kira pukul 5 pagi untuk bersiap menunaikan solat subuh dan membuat persediaan berniaga.
“Malam itu (Sabtu) memang hujan lebat berterusan sejak maghrib, namun saya tidak sangka akan banjir sebab kawasan rumah saya dan Warung Tepi Bendang (Wateb) ini tidak pernah dinaiki air.
“Namun awal pagi semalam bila turun sahaja dari katil, kaki saya sudah pijak air. Memang tak sangka sebab kawasan rumah dan warung ini tak pernah kena banjir,” katanya di sini hari ini.
Katanya, air naik sehingga paras betis, namun surut sedikit pada pagi ini.
“Kawasan rumah dan warung masih digenangi air, macam banjir termenung sebab air tersekat kerana tidak dapat mengalir keluar.
“Ia berkemungkinan disebabkan ban dekat sawah yang tinggi serta masalah berkaitan sistem saliran di sini,” ujarnya.
Jelasnya, banjir menyebabkan banyak barangan bersaiz besar di rumahnya terendam air.
“Barangan elektrik yang kecil seperti peti ais, peti sejuk beku kami sempat tinggikan dengan bata. Cuma ada sebahagian sayur dan ulam-ulaman untuk berniaga rosak,” jelasnya.
Apa yang mengecewakan, katanya, dia terpaksa menutup perniagaan memandangkan warung masih digenangi air.
“Semalam ada beberapa pelanggan termasuk dari Batu Kurau, Perak dan Perlis singgah di warung tetapi terpaksa berpatah balik bila dimaklumkan kedai tutup sebab banjir.
“Biasanya hari Sabtu memang ramai orang, tidak tahu berapa lama lagi terpaksa tutup sebab air masih bertakung dan perlukan masa nak cuci,” katanya.
Tambahnya, pihaknya telah melaporkan berkaitan ban dan sistem saliran di situ kepada pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Usia 63 tahun, pertama kali rumah, warung dilanda banjir’ appeared first on Kosmo Online.





