
Pelakon, pengarah dan penulis terkenal, Sabri Yunus mencipta satu lagi lembaran baharu dalam hidupnya apabila kembali menjejakkan kaki ke dunia pendidikan selepas lebih empat dekad meninggalkan alam persekolahan.
Lebih menyentuh hati, peluang itu hadir ketika usianya bakal mencecah 65 tahun, selepas beliau menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.
Sabri imbas kembali tahun 1980-an.
Menerusi perkongsian di media sosial, Sabri mengimbas kembali kisahnya ketika menerima keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 1981. Ketika itu, beliau memilih untuk tidak mengambil keputusan berkenaan kerana dibelenggu rasa bimbang selepas mempunyai hutang bayaran bulanan sebanyak RM180.
Menurut Sabri, ayahnya ketika itu memberikan wang berkenaan supaya beliau boleh mendapatkan keputusan peperiksaan kerana berharap anaknya lulus. Namun, Sabri yang mengakui dirinya nakal pada zaman tersebut lebih banyak menghabiskan wang untuk menonton wayang di beberapa pawagam sekitar Kota Bharu.
Ketika berdiri di hadapan bilik guru untuk mengambil keputusan, beliau masih berbelah bahagi sama ada mahu menggunakan wang yang diberikan bapanya atau tidak.
Akhirnya, Sabri membuat keputusan untuk tidak mengambil keputusan tersebut kerana khuatir gagal dan menganggap wang RM180 itu akan terbuang begitu sahaja. Wang berkenaan kemudian dipulangkan kepada bapanya dengan alasan beliau merasakan keputusannya tidak begitu baik.
Lebih mengesankan, apabila seorang kenalan bapanya bertanyakan keputusan STPM, bapanya terlebih dahulu menjawab secara berseloroh bahawa Sabri mendapat “tiga P” – Pembohong, Pemalas dan Pemonteng.
Tidak patah semangat
Namun, kisah itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari peluang melanjutkan pelajaran.
Pada era 1980-an, ketika bekerja sebagai layout artis di majalah Dewan Sastera, Sabri pernah cuba mendapatkan peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka di Institut Teknologi MARA (ITM), yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau bagaimanapun tidak mampu mengambil cuti tanpa gaji selepas tidak mendapat kelulusan untuk bercuti dengan gaji daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Beberapa tahun kemudian, peluang kedua muncul apabila beliau menghadiri program berkaitan teater di Kuala Terengganu. Selepas memberikan ceramah mengenai teater, beliau mendapat galakan daripada Dr Zainal Latiff dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menyambung pengajian di universiti berkenaan.
Sekali lagi, hasrat itu tidak dapat direalisasikan apabila DBP tidak membenarkan beliau mengambil cuti bergaji, menyebabkan Sabri memilih untuk tidak mengambil risiko pada ketika itu.
Kini, selepas bertahun-tahun, peluang ketiga hadir dengan tawaran UPSI untuk mengikuti pengajian dalam bidang seni dan sastera.
Baca juga:
- Usia bukan penghalang, Sabri Yunus kembali ke universiti pada umur 65 tahun
Syed Saddiq & Bella Astillah pilih 10.10 sebagai tarikh bahagia
‘Sungguh menyakitkan hati’ – Ito Blues Gang persoal royalti diterima
Sabri menyifatkan ketiga-tiga peluang pengajian yang pernah hadir dalam hidupnya sebagai laluan berbeza, namun semuanya mempunyai satu persamaan iaitu minat yang mendalam terhadap bidang seni dan ilmu.
Lebih daripada sekadar mengejar kelayakan akademik, Sabri berkata keputusan untuk kembali belajar pada usia tersebut turut didorong oleh keinginan memberikan semangat kepada anak-anaknya.
Beliau turut terkenang arwah bapanya yang sudah lama meninggal dunia, namun sempat berkongsi berita mengenai hasrat menyambung pengajian itu dengan ibunya, kira-kira sebulan sebelum wanita berkenaan meninggal dunia pada 5 Ogos lalu.
“Terima kasih UPSI,” tulis Sabri sambil menyifatkan dirinya kini sebagai “Anak Kandung Sulung Budiman”.
The post Usia bukan penghalang, Sabri Yunus kembali ke universiti pada umur 65 tahun appeared first on The Reporter.





