Ustaz Lah hadapi 51 pertuduhan, babit RM15.4 juta

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 1:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ustaz Lah hadapi 51 pertuduhan, babit RM15.4 juta

SEREMBAN – Seorang pendakwah bebas dan pempengaruh agama, Ustaz Abdullah Abdol Razak atau dikenali sebagai Ustaz Lah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 34 pertuduhan pecah amanah dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 17 pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram keseluruhan bernilai RM15.4 juta sejak 2023.

Abdullah, 40, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin M.Kunasundary.

Mengikut 34 pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai ejen iaitu Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM) dan diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu wang dana PRIM keseluruhan berjumlah RM13,847,535.89 didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta berkenaan.

Tertuduh didakwa secara tidak jujur melepaskan harta itu dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan PRIM yang menetapkan cara bagaimana amanah berkenaan perlu disempurnakan.

Ia didakwa dilakukan dengan cara meluluskan pembayaran wang tersebut ke beberapa akaun bank termasuk akaun bank miliknya sendiri tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Biz Avenue Seremban 2 di sini pada 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Abdullah turut berdepan 17 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang keseluruhan berjumlah RM1.56 juta daripada beberapa akaun bank termasuk akaun miliknya ke beberapa akaun syarikat lainbagi tujuan pembayaran pembelian emas.

Kesalahan itu dilakukan pada 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kes tersebut tidak boleh dijamin dan beliau menawarkan jaminan RM1 juta sekiranya dibenarkan mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM700,000 dengan dua penjamin warganegara berusia lebih 21 tahun yang mana RM400,000 jaminan bercagar, manakala RM300,000 tidak bercagar.

Selain itu, Setiausaha NGO terbabit, Noor Sahira Abdullah, 30, didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta PRIM berjumlah keseluruhan RM13,847,535.89 pada tarikh dan lokasi sama .

Noor Sahira dengan sengaja membantu beliau membuat pemindahan wang tersebut secara perbankan atas talian ke beberapa akaun bank tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.

Sehubungan itu, tertuduh telahmelakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 109 Kanun Keseksaan [Akta 574] dibaca bersama seksyen 409 Kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin warganegara dengan beberapa syarat tambahan.

Mahkamah membenar jaminan RM200,000 dengan dua penjamin tempatan berusia lebih 21 tahun dengan syarat tambahan seperti mana ditetapkan kepada Abdullah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 September depan.-KOSMO! ONLINE

The post Ustaz Lah hadapi 51 pertuduhan, babit RM15.4 juta appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved