
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada April lalu, seorang influencer agama telah ditahan selepas disyaki menyalahgunakan kuasa serta menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kes Influecer Agama Disyaki Seleweng Dana NGO RM12.3 Juta, Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Influencer agama mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan pecah amanah wang milik NGO & 17 pertuduhan wang haram babitkan duit lebih RM15.4 juta
Terbaharu influencer agama yang juga seorang pendakwah bebas itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas 34 pertuduhan pecah amanah wang milik NGO serta 17 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan duit bernilai lebih RM15.4 juta.
Abdullah Abdol Razak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan selama lebih satu jam di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Pendakwah bebas adalah pengerusi PRIM yang diamanah dengan penguasaan atas harta berupa wang dana PRIM bernilai RM13,847,535.89
Memetik laporan Sinar Harian, berdasarkan 34 pertuduhan yang dibacakan itu influencer agama tersebut yang merupakan seorang ejen iaitu Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM) yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta berupa wang dana PRIM bernilai keseluruhan RM13,847,535.89 didakwa sudah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta terbabit.
Abdullah turut didakwa secara tidak jujur telah melepaskan harta berkenaan dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan PRIM yang menetapkan cara bagaimana amanah terbabit perlu disempurnakan.
Selain itu, kesalahan itu didakwa dilakukan dengan cara meluluskan pembayaran duit berkenaan ke beberapa akaun bank termasuklah akaun bank miliknya (tertuduh) tanpa kebenaran daripada Mesyuarat Agung PRIM.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026 di sebuah bank di daerah (Seremban) ini.
Boleh dihukum penjara tak kurang 2 tahun dan tak lebih 20 tahun, sebat dan denda jika bersalah
Susulan itu, influencer yang juga dikenali sebagai Ustaz Lah di media sosial didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, sebatan dan juga boleh dikenakan denda.
Didakwa telah pindahkan hasil dari aktiviti haram iaitu wang keseluruhan bernilai RM1.56 juta
Pendakwah bebas itu juga berdepan dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram di mana dia didakwa telah memindahkan hasil dari aktiviti haram iaitu wang keseluruhan berjumlah RM1.56 juta daripada beberapa bank termasuk miliknya ke beberapa lagi akaun untuk tujuan membuat pembayaran pembelian emas.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di tempat yang sama.
Pendakwaan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun, boleh didneda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Timbalan pendakwa raya cadang wang jaminana RM1 juta jika diberikan
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akrab Gharib berkata kes itu tidak boleh dijamin.
Akan tetapi beliau telah mencadangan agar mahkamah mengenakan jaminan berjumlah RM1 juta jika diberikan (jamin).
Selain itu, beliau juga menetapkan penjamin hendaklah terdiri daripada dua individu warganegara yang bukan dari ahli keluarga (tertuduh) termasuk beberapa lagi syarat tambahan.
Peguam maklum jaminan ditawarkan tinggi untuk anak guamnya
Peguam, Azrul Zulkifli Stork yang mewakili influencer agama itu di dalam rayuan memaklumkan tertuduh telah berkahwin serta memiliki sebanyak 11 orang anak yang berusia empat hingga 15 tahun.
Menurut Azrul lagi pendakwah bebas berkenaan juga merupakan pemilik sebuah restoran dan influencer selain mempunyai pendapatan yang tidak menentu serta bergantung kepada penyiaran.
Beliau turut memaklumkan jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan kepada anak guamnya adalah tinggi susulan semua akaun bank influencer itu juga sudah dibekukan.
Rayu jumlah jaminan RM700,000 dipertimbangkan RM350,000 bercagar dan tidak bercagar
Oleh itu, Azrul merayu agar jumlah jaminan RM700,000 dipertimbangkan iaitu RM350,000 jaminan bercagar dan selebihnya tidak bercagar.
Pihak mahkamah kemudian telah menetapkan jaminan bernilai RM700,000 dengan dua penjamin warganegara yang berusia lebih 21 tahun yang mana RM400,000 jaminan bercagar dan RM300,000 pula jaminan tidak bercagar.
Jika gagal patuhi syarat, jaminan bercagar RM300,000 tidak akan dikembalikan
Jika influencer agama itu gagal mematuhi syarat yang telah ditetapkan, jaminan bercagar RM300,000 itu tidak akan dikembalikan selain perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.
Selain itu, tertuduh juga tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan secara sendiri ataupun menerusi pihak ketiga.
Setiausaha NGO mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersubahat dengan infuencer agama terbabit
Sementara itu, Setiausaha NGO berkenaan iaitu Noor Sahira Abdullah yang berusia 30 tahun turut didakwa bersubahat dengan influencer itu dengan melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta PRIM bernilai keseluruhan RM13,847,535.89 apabila sengaja membantu beliau membuat pemindahan wang tersebut secara perbankan atas talian ke beberapa akaun bank tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.
Noor Sahira bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap perbuatan berkenaan yang dilakukan dari 24 April 2023 hingga 28 Mac 2026.
Oleh itu, wanita berkenaan telah melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan [Akta 574] dibaca bersama Seksyen 409 Kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, sebat dan denda.
Peguam merayu wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh ada anak lima bulan dan jaga ibu bapa tak sihat
Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil kemudiannya menawarkan duit jaminan sebanyak RM250,000 bersama dua penjamin warganegara serta beberapa syarat tambahan.
Azrul yang juga mewakili Noor Sahira kemudian membuat rayuan yang mengatakan tertuduh telah berkahwin dan memilik seorang anak yang berusia lima bulan. Selain itu, wanita terbabit juga perlu menanggung kedua ibu bapa yang mempunyai kesihatan kurang baik.
Oleh itu, Azrul kemudian memohon jaminan dikurangkan kepada RM150,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah lalu menetapkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta berusia lebih 21 tahun dengan syarat tambahan seperti yang telah ditetapkan kepada influencer agama itu.
Kes akan disebut semula pada 28 September.






