Ustazah Asma’ Harun Tegur Trend S-Line, Menggigil Baca Ramai Buka Aib - “Nampak Seperti Gurauan, Hakikatnya Bawa Kerosakkan Akhlak & Maruah”

23 Jul 2025 • 10:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun, tampil memberikan teguran berhubung trend terkini yang tular di media sosial, dikenali sebagai ‘S-Line’
 

Trend yang buka aib sendiri

Menerusi hantaran terbaharu di Facebook, Ustazah Asma’ menyuarakan kegusaran terhadap fenomena ini.


 


Menurut ustazah Asma’, trend ini bukan sekadar gurauan kosong, malah merupakan satu bentuk penzahiran dosa yang dinormalisasikan secara terbuka.


 

“Menggigil baca… Anak-anak muslim kita dengan sengaja menjatuhkan maruah dan melondehkan aib sendiri di hadapan ribuan mata. 
 
“Bahkan, lebih sedih, ramai yang menyebar dan meniru tanpa rasa bersalah, seolah-olah ia hanyalah hiburan biasa.

 


“Dahsyatnya fitnah akhir zaman! Maksiat dan dosa bukan lagi disembunyikan, bahkan ditayang, disebar dan dibanggakan dengan alasan ikut trend.


 


“Sedangkan perbuatan membuka aib, berbangga dengan dosa dan menormalisasikan maksiat adalah Haram serta dilarang keras dalam Islam, bahkan mengundang murka dan bala Allah. Na‘uzubillahi min dzalik. 


 


“Trend S-Line ini nampak seperti gurauan ringan, tapi hakikatnya membawa kerosakan yang besar kepada akhlak dan maruah,” tegasnya.


 

Ibu bapa tolong peka dengan tingkah laku anak

 


Dalam pada itu, ustazah Asma’ juga menyelar sikap segelintir pihak yang menjadikan dosa sebagai bahan hiburan dan kebanggaan.


 


Malah, ustazah Asma’ menggesa agar ibu bapa lebih peka terhadap tingkah laku anak-anak di dunia digital.


 

“Tuan Puan, duhai Ibu Ayah, guru-guru pantaulah anak-anak kita, jangan terlalu longgar memberi akses kepada dunia digital tanpa bimbingan. 
 
“Nasihat dan doa kita adalah benteng utama agar mereka tidak terjebak dalam arus yang merosakkan.

 


“Para guru, jangan jemu menegur. Teguran yang kecil hari ini mungkin menyelamatkan satu jiwa esok hari.


 


“Duhai anak-anak muda Muslim, jangan gadaikan maruah diri hanya kerana ingin dilihat trendy. Apa yang kamu anggap biasa hari ini, boleh menjadi penyesalan yang panjang di akhirat nanti,” tegurnya.


 

Trend S Line harus dihentikan

 


Dalam hantaran yang sama, ustazah Asma’ menegaskan trend tersebut harus dihentikan.


 


“Trend S-Line ini perlu dihentikan. Ia bukan lucu. Ia bukan hiburan. Ia adalah penzahiran dosa zina yang dimuliakan oleh syaitan dan ditertawakan oleh dunia. Jangan biarkan diri kita menjadi alat kepada rancangan syaitan.


 

“Trend ini adalah antara fitnah akhir zaman. Ia menghapuskan rasa malu, menjauhkan hati daripada takut kepada Allah. 
 
“Jangan biarkan garis merah yang ditrendykan menjadi sebab maruah tergadai dan aib terbuka di hadapan Allah pada hari tiada tempat berlindung selain rahmat-Nya. Na‘uzubillahi min dzalik. 

 


“Allah telah menutup aib kita dengan kasih-Nya. Maka jangan sesekali kita sendiri yang membukanya. Wallahu a‘lam,” tulisnya.

Untuk info, trend S-Line bermula daripada sebuah drama Korea, di mana satu garis merah umpama tali muncul di atas kepala kononnya menunjukkan siapa yang pernah berhubungan intim. 
 
Lebih banyak garis merah maka lagi banyaklah individu itu pernah melakukan hubungan.
 
Trend ini kemudiannya ditiru secara terbuka oleh anak muda dengan menyunting gambar sendiri atau orang lain dengan filter seolah-olah mendedahkan kisah silam hubungan peribadi.
 
Berikut merupakan perkongsian penuh ustazah Asma’: