UTeM jadi pilihan IPT Rusia, jalin kerjasama dalam 4 bidang utama

07/05/2025 - 17:43
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 7 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) jalin kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi Rusia, Moscow Aviation Institute (MAI), menerusi pertukaran Surat Niat (LoI).
UTeM dan MAI memfokuskan empat bidang utama iaitu Sains Komputer, Sains Bahan, Mekatronik serta Penyelenggaraan, dan Pembaikan Pesawat.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, kerjasama tersebut merupakan pencapaian penting kerana ia merupakan kali pertama universiti itu menjalinkan hubungan rasmi dengan institusi pendidikan tinggi dari Rusia.
"Kerjasama ini akan mengukuhkan hubungan Malaysia-Rusia dan membuka peluang lebih luas dalam bidang akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani LoI itu diadakan di sebuah hotel di Bandaraya Melaka, melibatkan Massila dan Naib Rektor Hal Ehwal Akademik MAI, Dr. Prof. Dmitriy Kozorez.
Ia turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, dan Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Airat Gatiyatov.
Kedua-dua pihak turut merancang untuk melaksanakan program pertukaran staf dan pelajar, penganjuran program musim panas serta promosi bersama program akademik masing-masing.

Inisiatif tersebut selari dengan Pelan Strategik UTeM, selain menyokong Fokus 4 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
UTeM komited memperluas jaringan global dan memperkukuh kedudukan dalam ekosistem pendidikan antarabangsa yang kompetitif.
UTeM turut menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kumpulan Kerja Pendidikan, Sains dan Teknologi di bawah Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia sehari sebelum majlis tersebut.
Lawatan itu melibatkan lebih 50 Naib Canselor dan wakil kanan institusi pengajian tinggi dari Rusia bagi meneroka peluang kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan.- DagangNews.com
standard


