
KUALA LUMPUR – Utusan Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara institusi media paling berpengaruh dan bersejarah negara apabila menerima pengiktirafan pada The Knights Award Season 5: A World of Influence, yang berlangsung malam ini.
Utusan Malaysia merangkul Anugerah Media Berita Bahasa Melayu Terbaik (Malaysia) pada majlis berprestij yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, Menara Berkembar Petronas di sini.
Anugerah tersebut diterima oleh Pemangku Ketua Pengarang, Aznan Bakar mewakili Utusan Malaysia.
Kemenangan itu sekali gus menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat Utusan Malaysia dalam meneruskan legasi kewartawanan bahasa Melayu serta menyampaikan laporan yang dekat dengan masyarakat.
Selain itu, Utusan Malaysia turut disenaraikan antara syarikat dan organisasi terkemuka yang diberi perhatian pada The Knights Award bersama beberapa organisasi korporat lain.
The Knights Award yang kini memasuki musim kelima merupakan platform pengiktirafan yang diasaskan di Malaysia dengan menghimpunkan individu dan organisasi daripada pelbagai bidang serta negara.
Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, platform berkenaan bukan sahaja bertujuan memberikan pengiktirafan, malah berperanan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai titik pertemuan kecemerlangan global.
“Sepanjang lima musim yang luar biasa, The Knights Award telah mengiktiraf lebih 180 individu cemerlang, di samping membina rangkaian antarabangsa yang melibatkan peserta dari lebih 65 negara.
“Apa yang bermula sebagai sebuah inisiatif Malaysia kini berkembang menjadi sebuah platform antarabangsa yang menghubungkan usahawan, pemimpin korporat, ikon kreatif, inovator serta pencetus perubahan dari seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Selain Utusan Malaysia, beberapa nama besar tanah air turut mencuri perhatian pada The Knights Award Season 5, antaranya pelakon Zul Ariffin, penyanyi dan penulis lagu Firdhaus serta pemimpin korporat dan aktivis sosial Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid. – KOSMO! ONLINE
The post Utusan Malaysia dinobat Media Berita Bahasa Melayu Terbaik appeared first on Kosmo Online.






