UTV kini di android TV, hiburan ‘feel good’ jadi lebih hidup di skrin besar

LocalEntertainment
8 Apr 2026 • 8:39 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

Seiring perubahan gaya hidup yang lebih fleksibel dan digital, platform penstriman tempatan, UTV, melangkah setapak lagi ke hadapan apabila melancarkan saluran TV Digital yang boleh diakses menerusi semua peranti Android TV.

Langkah ini bukan sekadar penambahan platform, sebaliknya mencerminkan transformasi besar dalam usaha UTV memperluaskan capaian penonton. Dalam masa sama, ia mengukuhkan kedudukan sebagai platform Over-the-Top (OTT) tempatan yang semakin relevan dan berpotensi bersaing di peringkat antarabangsa.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof Datuk Seri Dr Hasan atau lebih dikenali sebagai Datuk Nana, pada Majlis Seri Syawal Usanita 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut beliau, keputusan untuk membawa UTV ke Android TV dibuat selepas melihat sambutan luar biasa terhadap aplikasi tersebut di peranti mudah alih dan desktop.

image is not available

“UTV kini boleh ditonton di TV seperti OTT lain. Ia bukan saluran TV konvensional, tetapi aplikasi seperti platform penstriman antarabangsa.

"Pengguna hanya perlu membuka Android TV dan boleh menikmati kandungan seperti pawagam peribadi di rumah,” jelasnya.

Tidak dinafikan, pengalaman menonton di skrin besar memberi dimensi berbeza, lebih santai, lebih imersif, dan pastinya lebih bermakna apabila dinikmati bersama keluarga.

Inilah yang cuba dibawa oleh UTV, hiburan yang dekat dengan emosi, namun tetap ringan dan menghiburkan.

Seiring identitinya sebagai platform ‘feel good’, UTV terus mengekalkan fokus terhadap genre romantik komedi yang mudah didekati penonton pelbagai lapisan usia.

Setakat ini, hampir 30 telefilem baharu termasuk siri UTV Nusantara telah diterbitkan, menampilkan gabungan pelakon dari Malaysia dan Indonesia bagi menghasilkan kandungan yang lebih segar dan dekat dengan jiwa penonton serantau.

“Kadang-kadang orang penat dengan rutin harian. Bila menonton cerita ringan, ia boleh beri rasa tenang dan gembira,” ujar beliau, menggambarkan falsafah kandungan yang dibawakan oleh platform tersebut.

Menariknya, usaha ini tidak sia-sia apabila UTV berjaya mencatat lebih 30 juta tontonan secara keseluruhan sejak diperkenalkan.

Antara karya paling mendapat perhatian ialah telefilem Postkad Cinta Dari Auckland lakonan Fattah Amin dan Amira Othman yang meraih lebih 20.1 juta tontonan, satu angka yang cukup membanggakan untuk kandungan tempatan.

Kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada langkah seterusnya, termasuk pengembangan ke platform televisyen digital yang kini membuka peluang lebih luas kepada penonton menikmati kandungan UTV dengan cara yang lebih selesa.

image is not available

Dalam pada itu, UTV turut mengekalkan model perniagaan 'pay-per-content', yang mana pengguna hanya membayar untuk kandungan yang ingin ditonton tanpa perlu terikat dengan langganan bulanan.

Pendekatan ini dilihat lebih fleksibel dan mesra pengguna, khususnya dalam era di mana ramai semakin bijak mengurus perbelanjaan hiburan digital.

Lebih menarik, UTV juga tidak berhenti di situ. Platform ini kini merancang untuk mengorak langkah ke industri perfileman dengan sasaran menghasilkan filem layar perak menjelang tahun 2027.

Projek tersebut dijangka membabitkan pelakon gred A serta personaliti berpengaruh, sekali gus memperkukuh aspirasi UTV sebagai peneraju kandungan hiburan serantau.

Bagi yang ingin mencuba pengalaman ini, aplikasi UTV boleh dimuat turun melalui App Store untuk pengguna iOS dan Play Store bagi pengguna Android. Malah, kehadirannya di Android TV kini memberi pilihan lebih luas untuk menikmati hiburan dalam suasana yang lebih imersif.