Steam Machine akhirnya dijual bermula hari ini dan disebabkan krisis RAM dam memori global, harga jualannya bermula $1049 (~RM4350) yang adalah sangat mahal dengan ini ialah model tanpa alat kawalan Steam Controller. Bagi yang kecewa dengan harga jualan Steam Machine, jurutera SteamOS di Valve, Pierre-Loup Griffais mengatakan sesiapa sahaja boleh membina Steam Machine menggunakan komponen PC sedia ada.

Dalam temubual oleh The Verge, beliau berkata sebarang komponen AMD boleh digunakan untuk membina Steam Machine sendiri di rumah tetapi dengan beberapa perbezaan. Pertama sekali ia mungkin tidak serasi 100% dengan Steam Controller.
Pembina Steam Machine juga perlu menggunakan SteamOS 3.8 yang baru sahaja diberikan dengan mesin tidak boleh menggunakan dua sistem operasi. Pada ketika ini hanya perkakasan AMD sahaja disokong tetapi Griffais mengesahkan Valve akan menyokong perkakasan NVIDIA cuma ia tidak akan tiba tahun ini.
Spesifikasi Steam Machine yang dijual Valve ialah cip AMD Zen 4 6C/12T dengan kelajuan mencecah 4.8 GHz, GPU AMD RDNA3 dengan 28CU serta 8GB GDDR6 VRAM, memori sebesar 16GB DDR5 dan storan SSD sehingga 2TB NVMe. Storan boleh ditambah menggunakan kad microSD.



