Vantris Energy, Paratus kaji penjualan syarikat usaha sama minyak dan gas bawah laut di Brazil

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 11:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vantris Energy, Paratus kaji penjualan syarikat usaha sama minyak dan gas bawah laut di Brazil Image from: Vantris Energy, Paratus kaji penjualan syarikat usaha sama minyak dan gas bawah laut di Brazil liza18/11/2026 - 11:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov – Vantris Energy Berhad bersama rakan usaha samanya, Paratus Energy Services Ltd sedang meneliti minat pihak ketiga terhadap kemungkinan pengambilalihan keseluruhan usaha sama perkhidmatan infrastruktur minyak dan gas bawah laut di Brazil (Seagems) yang dimiliki kedua-dua pihak dengan pegangan masing-masing 50%.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Vantris berkata kedua-dua pihak telah memulakan kajian strategik secara bersama bagi menilai pilihan terhadap usaha sama berkenaan.

 

“Kajian strategik berkenaan sedang dijalankan secara koordinasi bersama Paratus dengan memberi tumpuan kepada kemungkinan pengambilalihan oleh pihak ketiga.

 

“Bagaimanapun, kajian itu mungkin membawa kepada sesuatu transaksi atau sebaliknya, bergantung kepada hasil penilaian yang sedang dijalankan,” katanya.

 

Setakat tarikh pengumuman pada 18 November 2026, kedua-dua Vantris dan Paratus belum membuat sebarang keputusan untuk meneruskan transaksi berkenaan.

 

Ini bermakna, sebarang cadangan pengambilalihan masih di peringkat kajian dan belum dimuktamadkan, termasuk identiti pembeli serta nilai transaksi.

 

Usaha sama berkenaan melibatkan perniagaan perkhidmatan infrastruktur minyak dan gas bawah laut (subsea), termasuk sistem serta peralatan yang menyokong operasi industri minyak dan gas di dasar laut.

 

Bagi membantu proses kajian strategik itu, Vantris melantik JP Morgan sebagai penasihat kewangannya manakala Paratus melantik Pareto Securities sebagai penasihat kewangan bagi pihaknya sepanjang proses penilaian berkenaan.

 

Penyusunan semula portfolio perniagaan

Vantris dipercayai sedang meneruskan usaha menyusun semula portfolio perniagaannya menerusi kajian strategik terhadap kemungkinan penjualan pegangan 50% dalam syarikat JV itu.

 

Langkah itu dilihat selari dengan strategi syarikat untuk mengoptimumkan portfolio aset, menumpukan kepada perniagaan teras serta memperbaiki kedudukan kewangan selepas melalui proses penstrukturan semula yang besar.

 

Pada Jun 2026, Vantris yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Berhad berjaya keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) selepas menyelesaikan proses penstrukturan kewangan dan mencatat keuntungan selama dua suku berturut-turut.

 

Sebelum itu, pada Januari 2026, Vantris turut melupuskan pegangan 40% dalam L&T-Sapura Shipping pada nilai AS$30.5 juta (kira-kira RM123.5 juta), selaras dengan usaha mengoptimumkan portfolio aset, menumpukan kepada perniagaan teras dan memperbaiki kedudukan kewangan kumpulan.

 

Hala tuju Vantris bagi tahun kewangan 2027 (FY2027) turut memberi penekanan kepada tumpuan pasaran di Asia Tenggara dan Australia, pemilihan projek secara lebih selektif serta pengurusan margin dan aliran tunai. 

 

Justeru, kajian terhadap Seagems dipercayai sebahagian daripada usaha lebih luas syarikat menyusun semula portfolio perniagaannya, meskipun Vantris belum mengesahkan perkara itu sebagai sebab khusus kajian penjualan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved