liza18/11/2026 - 14:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 18 Nov – Kerajaan Negeri Terengganu menerusi TI Petroleum Sdn Bhd sedang meneroka dua hingga tiga lagi peluang penyertaan dan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas susulan kejayaan penglibatan secara langsung menerusi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran PM6/12.
Penyertaan menerusi anak syarikat milik penuh Terengganu Incorporated Sdn Bhd itu melibatkan kerjasama dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd dan EnQuest Petroleum, merangkumi lima aset petroleum utama iaitu Resak, Duyong, Beranang, Gansar dan Lebah.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perindustrian, Perdagangan dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, TI Petroleum akan meneruskan pelaksanaan inisiatif Terengganu Petroleum dengan meneroka peluang pelaburan berdaya maju dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran.
“Usaha itu turut merangkumi pembinaan kerjasama strategik dengan pemain industri berpengalaman di peringkat global bagi memperluas penyertaan Terengganu dalam sektor huluan minyak dan gas secara berperingkat dan mampan.
“Penyertaan berkenaan diharapkan dapat mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi baharu, membangunkan keupayaan tempatan serta membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi.
“Pada masa sama, peluasan penglibatan dalam sektor huluan dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat tempatan, selain meningkatkan sumbangan pendapatan petroleum kepada negeri,” katanya dalam sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Perhebat usaha menarik pelaburan industri
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri akan mempergiat usaha menarik pelaburan domestik dan asing berkualiti menerusi penyelarasan lebih agresif antara agensi pelaburan negeri termasuk Invest Terengganu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Katanya, usaha itu turut melibatkan penyediaan pakej industri lebih menarik dengan mengetengahkan ekosistem sedia ada termasuk sumber bahan mentah, tenaga kerja mahir, kemudahan utiliti, kawasan industri strategik serta kelebihan logistik melalui integrasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelabuhan Kemaman.
“Kerajaan negeri juga akan memperkasakan Jawatankuasa Pembangunan Industri Negeri Terengganu (JPINT) bagi mempertimbangkan permohonan lot industri, memantau pelaksanaan projek pelaburan serta menyelaras pembangunan infrastruktur asas dan insentif berkaitan,” katanya.
Teroka potensi mineral dan pembangunan GLC
Bagi sektor mineral, kerajaan negeri ketika ini menggunakan data, laporan dan penilaian deposit mineral daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sebagai rujukan utama dalam merancang pembangunan sektor perlombongan.
Katanya, kerajaan negeri belum bercadang memperuntukkan dana khas bagi menjalankan kajian menyeluruh terhadap potensi deposit mineral berikutan kos penerokaan dan penilaian terperinci yang tinggi serta memerlukan kepakaran teknikal khusus.
Bagaimanapun, kajian lebih komprehensif boleh dipertimbangkan pada masa hadapan sekiranya terdapat keperluan strategik dan kemampuan kewangan bersesuaian bagi menyediakan pangkalan data lebih lengkap untuk menarik pelabur.
Dalam aspek GLC, kerajaan negeri turut melaksanakan penambahbaikan polisi, prosedur operasi standard serta pemantapan peranan lembaga pengarah dan pengurusan eksekutif bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus dan akauntabiliti organisasi.
Dari segi pengembangan perniagaan, MBI Modal sedang menggerakkan kerjasama pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan digital serta infrastruktur tenaga, manakala cadangan pembangunan hab tenaga dan hab perikanan masih dalam peringkat penilaian.
NIT sasar hasil negeri RM560 juta pada 2027
Dalam usaha memperluas sumber pendapatan, beliau berkata kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada empat teras baharu menerusi New Income Terengganu (NIT), iaitu pengukuhan pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemerkasaan sektor perhutanan, penerokaan peluang ekonomi digital serta pengoptimuman sumber tenaga negeri.
“Strategi itu menyokong sasaran hasil negeri sebanyak RM560 juta pada 2027, meningkat RM60 juta berbanding sasaran RM500 juta pada 2026.
“Bagi pencapaian NIT, kerajaan negeri merekodkan hasil RM135.05 juta pada 2025, bersamaan 49.32% daripada sasaran RM273.8 juta yang ditetapkan bagi tujuh inisiatif berkenaan.
“Jumlah itu meningkat 74.3% berbanding RM77.48 juta pada 2024, dengan empat inisiatif menyumbang hasil iaitu kajian semula cukai dan fi sebanyak RM77 juta, sumber air RM46.69 juta, sumber galian dan mineral RM9.3 juta serta serahan GLC RM1.99 juta,” katanya.
Sementara itu, tiga lagi inisiatif iaitu sumber batuan, sumber teknologi hijau serta fi pelancongan dan rekreasi masih belum mencatatkan hasil berikutan berada dalam fasa semakan perundangan dan penyelarasan kaedah pelaksanaan. - DagangNews.com






