johardy17/11/2026 - 18:05 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Perniagaan usaha sama Vantris Energy Berhad memperoleh kontrak bernilai kira-kira AS$410 juta (RM1.7 bilion) daripada Petroleo Brasileiro S.A. (Petrobras) bagi menyediakan perkhidmatan kapal sokongan pemasangan paip (PLSV) di luar pesisir Brazil selama empat tahun.
Vantris Energy mempunyai bahagian efektif sebanyak 50% dalam kontrak yang dianugerahkan kepada Seagems Offshore Ltda., anak syarikat kepada syarikat usaha sama tidak langsung yang dimilikinya sebanyak 50% bersama Paratus Energy Services Ltd.
Kontrak itu ditandatangani di Rio de Janeiro pada 16 November 2026 selepas proses tender kompetitif, menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia hari ini.
Skop kerja merangkumi kejuruteraan dasar laut, pemasangan dan perkhidmatan lain di perairan Brazil menggunakan kapal milik pihak ketiga, Seagems Safira, yang dirujuk sebagai Neptune dalam tender Petrobras.
Kerja di bawah kontrak itu dijangka bermula pada penghujung suku ketiga tahun kewangan Vantris Energy berakhir 31 Januari 2029 dan berlangsung selama empat tahun.
Kapal masih dalam pembinaan
Seagems Safira ialah kapal pembinaan luar pesisir laut ultra dalam yang mampu beroperasi pada kedalaman air sehingga 3,000 meter.
Kapal yang masih dalam pembinaan itu akan dilengkapi sistem pemasangan paip mendatar tugas berat berkapasiti 300 tan, yang direka untuk menjalankan kerja pemasangan paip dan kabel umbilikal.
Vantris Energy menjangkakan kontrak berkenaan menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 31 Januari 2029. Kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
Menurut syarikat, kontrak berkenaan tertakluk kepada pelbagai risiko, termasuk perubahan keadaan ekonomi, persekitaran kawal selia dan geopolitik serta risiko operasi dan pelaksanaan.
Syarikat akan melaksanakan langkah bersesuaian untuk mengurus dan mengurangkan risiko tersebut sambil mengekalkan standard tinggi dalam aspek kualiti, kesihatan, keselamatan, sekuriti, kemampanan dan pematuhan alam sekitar. - DagangNews.com






