99 Speedmart catat jualan RM9.45 bilion, untung bersih meningkat 19.8% pada 9MFY26

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 6:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

99 Speedmart catat jualan RM9.45 bilion, untung bersih meningkat 19.8% pada 9MFY26 Image from: 99 Speedmart catat jualan RM9.45 bilion, untung bersih meningkat 19.8% pada 9MFY26 liza17/11/2026 - 18:24 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Jualan 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad meningkat sebanyak 13% kepada RM9.45 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), berbanding RM8.36 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) pula meningkat sebanyak 19.8% kepada RM542.29 juta bagi tempoh 9MFY26 berbanding RM452.78 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 19.7% kepada RM719.1 juta berbanding RM600.52 juta bagi tempoh sama tahun lalu. Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY26), 99 Speedmart merekodkan PAT sebanyak RM189.78 juta, meningkat 16.3% berbanding RM163.25 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi suku berkenaan turut meningkat 8.7% kepada RM3.30 bilion berbanding RM3.04 bilion, manakala keuntungan kasar bertambah 15.3% kepada RM659.37 juta.

 

Pertambahan cawangan, transaksi jualan pacu pertumbuhan

Prestasi kumpulan bagi tempoh sembilan bulan itu disokong pengembangan rangkaian peruncitannya yang mencatatkan pertambahan bersih 251 cawangan berbanding tempoh sama tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,217 cawangan setakat 30 September 2026.

 

Jumlah transaksi jualan turut meningkat 13.7% kepada 443.8 juta bagi 9MFY26, dengan nilai purata pembelian setiap transaksi sebanyak RM21.30.

 

Sementara itu, platform e-dagang 99 Bulksales menyumbang tambahan hasil kira-kira RM28.5 juta bagi tempoh berkenaan, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap penawaran jualan pukal kumpulan.

 

Bagi suku ketiga sahaja, jumlah transaksi jualan meningkat 10.2% kepada 156.3 juta, manakala nilai purata pembelian setiap transaksi berjumlah RM21.10 berbanding RM21.40 pada suku sama tahun lalu.

 

Perluas penawaran produk, isytihar dividen 2.25 sen

Dalam perkembangan lain, 99 Speedmart terus memperluas penawaran produknya termasuk memperkenalkan peralatan elektrik rumah di semua cawangannya di seluruh negara serta menggandakan pilihan produk di platform e-dagang 99 Bulksales.

 

Kumpulan turut memperkenalkan rak khas bagi ubat-ubatan tanpa preskripsi (OTC) di semua cawangannya di Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan keterlihatan produk serta memudahkan pelanggan mendapatkan barangan penjagaan kesihatan asas.

 

Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 2.25 sen sesaham biasa, bersamaan kira-kira RM189 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026).

 

Tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 2 Disember 2026, manakala pembayaran akan dibuat pada 14 Disember 2026. Ini menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan bagi FY2026 sebanyak 4.5 sen sesaham.

 

Mengulas prospek perniagaan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speedmart, Lee Thiam Wah berkata, kumpulan kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap sektor peruncitan, disokong permintaan berterusan terhadap barangan keperluan harian serta langkah di bawah Belanjawan 2027 yang dijangka meningkatkan kuasa beli isi rumah.

 

Beliau berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja dan kecekapan operasi bagi menguruskan kesan kenaikan gaji minimum yang dijadualkan berkuat kuasa Jun 2027, selain meneruskan pengembangan rangkaian cawangan dan penawaran produk. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved