Verstappen buru kemenangan sulung di Singapura

10 Oct 2026 • 11:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Verstappen buru kemenangan sulung di Singapura

SINGAPURA: Max Verstappen semakin hampir menamatkan penantian untuk meraih kemenangan sulung Grand Prix (GP) Singapura apabila meraih petak utama bagi perlumbaan di Litar Jalan Raya Marina Bay, hari ini.

Pemandu Red Bull itu meneruskan dominasi sepanjang hujung minggu apabila mencatat masa terpantas satu minit 31.373 saat dalam sesi kelayakan, mengatasi dua pelumba Ferrari, Charles Leclerc dan Lewis Hamilton, yang masing-masing mengisi tempat kedua dan ketiga.

Kejayaan itu hadir selepas Verstappen turut menjuarai perlumbaan pecut, sekali gus meletakkan juara dunia itu pada kedudukan terbaik untuk memburu kemenangan GP pertamanya di Singapura sejak membuat penampilan sulung di litar berkenaan pada 2015.

“Sudah tentu saya sangat gembira meraih petak utama kerana inilah yang saya mahukan, selain jentera kami cukup kuat sepanjang hujung minggu ini dan prestasi terus menunjukkan perkembangan positif,” kata Verstappen.

Bagaimanapun, Verstappen mengingatkan pasukannya supaya segera memperbaiki kelemahan ketika permulaan perlumbaan selepas jenteranya sekali lagi gagal memecut dengan baik ketika lampu isyarat dipadamkan dalam perlumbaan pecut, sehingga membolehkan George Russell memintasnya sebelum pelumba Mercedes itu terbabit dalam kemalangan.

“Permulaan tadi sangat teruk sekali lagi dan itu sesuatu yang perlu kami perbaiki kerana jika perkara sama berlaku esok, perlumbaan kami boleh berakhir begitu sahaja, lebih-lebih lagi peluang memintas di litar jalan raya yang sempit ini sangat terhad,” katanya.

Sementara itu, Leclerc berjaya memanfaatkan pusingan terakhir untuk mengunci tempat di barisan hadapan, walaupun mengakui bergelut sepanjang sesi kelayakan, manakala Hamilton yang mendahului dua sesi awal gagal mengulangi rentak terbaiknya pada pusingan penentuan.

“Potensi untuk meraih petak utama memang ada, tetapi Max melakukan tugas lebih baik,” kata Leclerc.

Pendahulu kejuaraan, Kimi Antonelli, melengkapkan kelompok empat terpantas bersama Mercedes, diikuti juara dunia bertahan Lando Norris di tempat kelima, manakala Oscar Piastri berada di kedudukan ketujuh dan Russell bakal memulakan perlumbaan dari belakang selepas dikenakan penalti kerana menggunakan terlalu banyak komponen baharu.

Sesi kelayakan berlangsung dalam keadaan kering selepas hujan menjejaskan perlumbaan pecut, namun Red Bull turut menerima tamparan apabila Isack Hadjar tersingkir seawal sesi pertama akibat masalah mekanikal, sementara Fernando Alonso dijangka memulakan perlumbaan dari belakang selepas perlu menukar enjin. – AGENSI

The post Verstappen buru kemenangan sulung di Singapura appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved