
Seperti ura-ura yang didengari sebelum ini, Disney hari ini melancarkan ciri baharu Verts di dalam aplikasi Disney+ khusus untuk kandungan video menegak. Di dalam Verts, video menegak kandungan daripada Disney+ boleh ditonton dengan antaramuka seakan TikTok. Tatal ke atas untuk menonton video yang seterusnya tanpa henti.

Ia diakses menerusi ikon Verts yang diletakkan di palang navigasi aplikasi. Daripada video menegak, pengguna boleh terus menonton video asal dalam format asal secara terus. Mereka juga boleh menambah klip Verts ke senarai tonton sekiranya ia ditonton di waktu yang lain.
Dalam ujian awal, Disney+ mengatakan Verts berjaya meningkatkan tontonan kandungan dalam platform. Seperti platform video menegak lain, algoritma Verts akan berubah mengikut tabiat tontonan di Disney+.
Ini ialah fasa pertama Verts dengan ia kemudiannya akan digunakan untuk mencuba format kandungan baharu dan mungkin akan memaparkan kandungan pempengaruh di masa hadapan. Verts hanya boleh diakses pelanggan Disney+ di Amerika Syarikat sahaja pada ketika ini.



