[VIDEO] 26 warga Indonesia guna MyKad palsu ditahan

14 May 2026 • 2:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] 26 warga Indonesia guna MyKad palsu ditahan
Image from: [VIDEO] 26 warga Indonesia guna MyKad palsu ditahan
Antara individu yang diperiksa JPN dalam serbuan di dua gudang pakaian di Shah Alam pada Khamis.

SHAH ALAM – Seramai 26 pekerja warga Indonesia dipercayai menggunakan MyKad palsu ditahan dalam Ops Pandan yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di dua gudang pakaian di sini pada Khamis.

Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mazhad Abdul Aziz berkata, dalam operasi jam 10.30 pagi itu, seramai 134 individu telah diperiksa.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 108 warga tempatan. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seramai 26 warga asing berusia 25 hingga 50 tahun disyaki menggunakan MyKad palsu," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

**media[3520387]**

Mazhad berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber MyKad palsu berkenaan.

“Kalau dilihat secara luaran memang nampak hampir sama, tetapi apabila diperiksa secara terperinci terdapat perbezaan pada tulisan dan ciri fizikal kad tersebut,” katanya.

“Hasil maklumat awal, ada warga asing yang mengaku meminjam MyKad, namun ada juga yang dipercayai membeli kad pengenalan palsu,” katanya.

Beliau berkata, pengesanan MyKad palsu dilakukan menggunakan alat Mobile Terminal Unit (MTU) yang membolehkan semakan cap jari dibuat serta-merta.

“Jika tiada rekod cap jari dalam sistem, memang sah individu itu menggunakan MyKad palsu,” katanya.

Mazhad berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri, khususnya kad pengenalan.

"Hasil risikan yang dijalankan selama sebulan, operasi bermula jam 10 pagi dengan penglibatan seramai 59 anggota dan pegawai penguat kuasa.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 42 anggota terdiri daripada pegawai dan anggota JPN membabitkan pejabat Putrajaya dan Selangor," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata, turut terlibat dalam operasi, pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke pejabat JPN Putrajaya bagi membantu siasatan lanjut mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya.