‘Saya tidak sanggup lihat video kejadian’

16 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya tidak sanggup lihat video kejadian’

TEMERLOH – “Ketika melihat video kemalangan di media sosial saya terdetik, itu isteri dan anak saya.”

Itu luahan pilu seorang suami, Saifulnizam Sulaiman, 39, yang tidak menyangka nahas tragis membabitkan kereta dan lori tangki di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di sini, kelmarin meragut nyawa dua insan tersayangnya.

Akibat kejadian, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Naufal, 12, rentung selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka dihempap sebuah lori tangki yang membawa 32,000 liter diesel sebelum dua kenderaan terbakar.

Saifulnizam berkata, isterinya yang membantu menguruskan perniagaan mereka dalam perjalanan dari Jerantut ke Seremban untuk mene­muinya sempena cuti sekolah dan pulang ke kampung halamannya.

“Saya sudah berada di Seremban atas urusan kerja, manakala isteri bersama anak bertolak dari Jerantut selepas anak selesai bersekolah pada Jumaat.

“Kali terakhir saya jumpa isteri dan anak Selasa lalu. Kami seperti biasa dan tiada apa-apa perubahan. Isteri sentiasa beritahu saya mereka bergerak pukul berapa, berhenti di mana dan keadaan sepanjang perjalanan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.

Ujarnya, isterinya dijangka tiba di Seremban kira-kira pukul 6 petang selepas bertolak dari Jerantut kira-kira pukul 2 petang, namun dia mula berasa tidak sedap hati apabila mesej dihantar pukul 5 petang tidak berbalas.

“Saya sedang bekerja ketika itu. Pukul 7 malam saya tengok telefon, mesej WhatsApp tidak berjawab dan panggilan juga tidak dijawab. Sepanjang 14 tahun bersama, dia tidak pernah buat begitu.

“Bila saya nampak di media sosial ada berita kemalangan di Jalan Temerloh-Triang, terus terdetik dalam hati, ini mungkin isteri dan anak saya,” katanya.

Dia kemudian menghubungi ahli keluarga sebelum bergegas dari Seremban ke Temerloh bagi mendapatkan kepastian mengenai nasib isteri dan anaknya.

Katanya, dia hanya melihat satu rakaman dashcam yang menunjukkan keadaan sebelum lori tangki terbabit terbalik, manakala rakaman lain berkaitan kemalangan itu enggan ditontonnya kerana ‘mengetahui’ isteri dan anaknya dalam kereta itu.

“Saya sampai kira-kira pukul 1 pagi dan sudah melihat jasad isteri serta anak saya. Saya tidak sanggup melihat video nahas itu kerana saya tahu mereka di situ,” katanya sebak.

Sementara itu, sahabat arwah Nur Fatima Syuhada, Sharifah Hazirah Syed Mohd. Jufferi, 41, menyifatkan pemergian Syuhada atau lebih mesra dipanggil Adda sebagai kehilangan besar buat rakan-rakan yang mengenalinya sejak zaman pengajian di Kolej IKIP Kuantan yang kini dikenali sebagai Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP).

“Adda seorang yang ‘happy go lucky’ , sangat seronok bila berbual dan mudah mesra. Walaupun sudah lama tidak berjumpa, tetapi kami masih berhubung. Arwah sangat baik, lembut dan seorang yang pandai mengambil hati rakan-rakan,” ujarnya.

Hazirah berkata, dia mengetahui mengenai kemalangan itu selepas melihat rakaman kejadian yang tular di media sosial sebelum menyedari mangsa terbabit adalah sahabat baiknya bersama anak.

“Pada awalnya saya tengok video itu dan menangis, tetapi tidak terfikir siapa yang berada dalam kereta. Bila nama arwah diketahui, Allahuakbar, terus lemah lutut saya. Tak sangka kemalangan itu begitu tragis dan arwah pergi bersama anaknya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Na­syim Bahron berkata, walaupun keluarga mangsa sudah tampil memberi keterangan kepada polis, pengesahan identiti dua mangsa akan dijalankan melalui perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) waris,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saya tidak sanggup lihat video kejadian’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved