![Image from: [VIDEO] Angin ribut terlalu kuat, meja dan kerusi ‘terbang’ di kedai makan](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/RIBUT-KEDAI-MAKAN-1024x768.jpeg)
PETALING JAYA – Detik cemas apabila angin ribut kuat melanda sebuah kedai makan di Kuantan, Pahang sehingga menyebabkan meja dan kerusi diterbangkan angin dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV), semalam.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Kedai Pok Awang Celup Tepung kira-kira pukul 7.31 malam itu memperlihatkan suasana kelam-kabut apabila angin kencang secara tiba-tiba membadai premis berkenaan.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads dikenali sebagai @lyanamk_ yang memuat naik rakaman kejadian berkenaan.
“Detik cemas ketika ribut melanda Kedai Pok Awang Celup Tepung semalam.
“Alhamdulillah, tiada kecederaan dilaporkan dan semua selamat. Barang yang rosak boleh diganti, keselamatan nyawa tetap paling utama. Semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Menerusi rakaman tersebut, beberapa meja dan kerusi di ruang makan dilihat bergerak sebelum sebahagiannya terbalik akibat tiupan angin yang terlalu kuat.
Rakaman itu turut memaparkan seorang lelaki berbaju biru yang sedang memegang penyapu kelihatan terpaku seketika apabila menyedari keadaan semakin buruk.
Dalam pada itu, beberapa individu lain yang berada berhampiran kaunter turut berdepan detik mencemaskan apabila ribut melanda secara tiba-tiba.
Di ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa terkejut dan cemas melihat kekuatan angin ribut sehingga menyebabkan meja serta kerusi di premis berkenaan bergerak dan berterbangan.
Ada juga yang menzahirkan rasa syukur kerana semua individu yang berada di lokasi dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Ya Allah, kuat betul angin sampai meja dan kerusi pun boleh bergerak sendiri. Nasib baik semua orang selamat. Kalau terkena kerusi yang berterbangan itu, memang boleh mendatangkan kecederaan,” komen Shah.
“Seram tengok rakaman ini. Lelaki berbaju biru itu pun nampak terkejut apabila angin datang secara tiba-tiba. Sekelip mata sahaja keadaan kedai terus jadi kelam-kabut,” komen Tisya.
“Allahuakbar, dahsyat sungguh ribut kali ini. Meja dan kerusi yang berat pun boleh dialihkan angin. Syukur tiada sesiapa yang cedera. Semoga pemilik kedai dipermudahkan segala urusan,” komen Yunus. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Angin ribut terlalu kuat, meja dan kerusi ‘terbang’ di kedai makan appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Ribut kuat, kereta undur laju elak khemah ‘terbang’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/ribut-bbst-1024x766.jpeg)



