Rakyat ‘berkampung’ di Putrajaya saksikan raptai penuh Hari Kebangsaan

29 Aug 2026 • 12:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rakyat ‘berkampung’ di Putrajaya saksikan raptai penuh Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA: Ribuan rakyat sanggup datang seawal pagi dan ‘berkampung’ di sekitar Dataran Putrajaya di sini bagi menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2026, hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai mula memenuhi kawasan berkenaan seawal pukul 5 pagi bagi menyaksikan raptai yang bermula sekitar pukul 8 pagi.

Kemeriahan itu membuktikan sambutan Hari Kebangsaan terus menjadi tarikan rakyat untuk menyaksikan sendiri pelbagai pengisian termasuk perarakan pasukan beruniform dan pertunjukan udara.

Salah seorang pengunjung, Asrina Barudin, 40, berkata, beliau memilih untuk hadir pada sesi raptai bagi mengelakkan kesesakan orang ramai pada sambutan sebenar Isnin ini.

Katanya, kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya setiap tahun menjadi antara sebab beliau sanggup hadir lebih awal.

“Seperti setiap tahun, sambutan Hari Kebangsaan disambut begitu meriah dan Putrajaya sentiasa dibanjiri orang ramai, sebab itu saya ambil kesempatan hadir hari ini.

“Persembahan yang dipamerkan juga sangat menakjubkan menyebabkan saya membuat keputusan untuk hadir lagi pada Isnin ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas raptai penuh Hari Kebangsaan, hari ini.

Sementara itu, Siti Shafikah Md Daud, 40, menyifatkan peluang menyaksikan perarakan secara langsung sebagai pengalaman berbeza berbanding hanya menonton menerusi televisyen.

Pekerja swasta yang berasal dari Puchong itu berkata, beliau hadir bersama empat ahli keluarga dan bertolak dari rumah seawal pukul 7 pagi dengan menaiki kereta.

“Kami datang dulu hari ini. Kalau datang 31 Ogos nanti, mungkin tidak nampak dengan jelas kerana terlalu ramai orang, jadi kami datang tengok dulu hari ini,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman menyaksikan raptai secara langsung turut memberikan pengalaman menyeronokkan terutama apabila dapat mendengar bunyi pesawat serta sorakan orang ramai.

“Pertunjukan udara menjadi tarikan paling menarik perhatian kerana sebelum ini saya hanya menyaksikan aksi berkenaan menerusi televisyen,” katanya.

Katanya, rakyat Malaysia wajar mengambil peluang menyaksikan sambutan secara langsung bagi menyemarakkan semangat kemalaysiaan.

“Untuk rakyat Malaysia yang mahu memperbaharui semangat kemalaysiaan, saya memang galakkan datang tengok secara langsung,” katanya.

Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 dijayakan lebih 10,819 peserta daripada 76 kontinjen selain melibatkan 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan. – UTUSAN

The post Rakyat ‘berkampung’ di Putrajaya saksikan raptai penuh Hari Kebangsaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved