
SHAH ALAM - Polis bertanyakan kepada ibu Zara Qairina Mahathir, iaitu Noraidah Lamat, sebanyak dua kali tentang pelaksanaan bedah siasat terhadap mangsa ketika dia berada di hospital pada 17 Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendirian ibu mangsa bagaimanapun kekal sama, iaitu tidak mahu proses bedah siasat dijalankan bagi menyegerakan pengebumian anaknya.
**media[3241810]**
“Pegawai penyiasat berjumpa ibu mangsa dan memaklumkan mengenai keperluan untuk melakukan proses bedah siasat. Ibu mangsa ketika itu menyatakan dia hendak menyegerakan pengebumian kerana anaknya sudah cukup menderita.
“Di sini pihak polis dan pengarah siasatan mengakui ada ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan.
“Pegawai polis pula apabila minta maklumkan kepada ibu, katanya tak nak buat. Dia nak segerakan pengebumian dan doktor yang bertugas jam 5 petang di bilik mayat sekali lagi menemui ibu, namun ibu kekal dengan pendiriannya,” katanya ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah agama berasrama penuh dalam kejadian pada 16 Julai lalu.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematiannya mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Saifuddin turut memaklumkan, Noraidah kemudiannya mengisi dan menandatangani surat akuan enggan bedah siasat mayat di atas kemahuan sendiri bersaksikan kakak iparnya.
Tambahnya, keputusan itu dibuat mengikut kehendak Noraidah dan ia didokumentasikan secara sah sambil menjelaskan bahawa pegawai penyiasat menghormati permintaan tersebut.
“Keputusan dibuat atas kehendak ibu dan didokumenkan secara sah. Pegawai penyiasat menghormati sepenuhnya (permintaan ibu) ketika itu.
“Dari sudut Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), ia dianggap tidak patuh dan polis akan mengambil tindakan dalaman,” ujarnya.
Sewaktu sesi soal jawab perbahasan, Saifuddin menjelaskan bahawa tindakan Noraidah menandatangani surat akuan adalah fakta dan ia sama sekali tidak bermaksud untuk meletakkan dirinya dalam posisi bersalah.
Katanya lagi, kemungkinan sama ada ibu mangsa diberi penerangan mengenai proses bedah siasat atau tidak, perkara tersebut boleh dijelaskan ketika inkues nanti.
“Jauh sekali bila sebut soal persetujuan ibu menandatangani surat akuan, tidak terlintas kenyataan fakta terbabit adalah untuk meletakkan ibu dalam posisi bersalah.
“Saya hanya memaklumkan fakta bahawa pegawai penyiasat khilaf dan niatnya mahu mempermudahkan urusan ibu serta menyegerakan proses pengebumian.
“Tetapi, tindakan itu tidak akan dipertahankan, malah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berpendirian akan mengambil langkah susulan,” jelasnya.
Lagi artikel berkaitan:
