![Image from: [VIDEO] ‘Ini baru lelaki, pelindung wanita’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-27-at-11.12.02-AM-1024x687.jpeg)
PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki berbaju merah menegur individu yang didakwa merakam seorang wanita secara senyap-senyap di dalam tren Transit Aliran Deras (MRT) Laluan Putrajaya mengundang pujian netizen.
Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna Threads @__aliasya, yang mendakwa lelaki berbaju hitam berkenaan merakam wanita di hadapannya tanpa pengetahuan mangsa.
Menurutnya, lelaki berbaju merah menyedari perbuatan tersebut melalui pantulan cermin sebelum menegur individu terbabit.
Bagaimanapun, lelaki berbaju hitam itu didakwa tidak mengakui perbuatannya dan enggan keluar dari tren walaupun tindakan lanjut termasuk membuat laporan polis mahu dilakukan.
“Pertama kali menyaksikan situasi seperti ini. Terima kasih abang baju merah. Semoga wanita itu baik-baik sahaja,” kongsinya.
Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata memuji keberanian lelaki berbaju merah kerana tampil mempertahankan wanita berkenaan.
“Ini baru betul lelaki. Kita perlukan lebih ramai ‘Captain America’ yang berani tampil membantu orang lain. Tabik hormat kepada lelaki berbaju merah,” komen kylea.halim.
“Padu, kawan aku lindungi wanita. Perbuatan seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan dan terus laporkan kepada pihak berkuasa. Kesalahan tetap kesalahan,” tulis raziquew pula.
Seorang lagi netizen turut menzahirkan penghargaan terhadap tindakan lelaki berkenaan.
“Adik baju merah membuktikan bukan semua lelaki jahat. Terima kasih kerana mempertahankan maruah wanita,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna turut berkongsi saranan supaya penumpang mendapatkan bantuan kakitangan tren sekiranya berdepan kejadian seumpama itu.
“Lain kali tekan butang di tepi pintu tren dan maklumkan ada individu mencurigakan di dalam tren. Kakitangan akan datang membantu. Jaga keselamatan diri, perempuan semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] ‘Ini baru lelaki, pelindung wanita’ appeared first on Kosmo Online.





