![Image from: [VIDEO] Isu pelepasan selesai, Najib jalani hukuman penjara di rumah serta-merta](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-10-at-17.19.39-1024x816.jpeg?v=1794304095)
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini secara serta-merta.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin hari ini mengeluarkan perintah pelepasan baharu sekaligus membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut.
“Yang pertama sekali, perintah pelepasan atas pembayaran denda, ‘which is an order of discharge on payment of fine’ bertarikh 6 November 2026, dengan ini dibatalkan dan digantikan sepenuhnya dengan perintah ini.
“Yang kedua, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028,” kata Hakim Aslam.
Dalam prosiding perintah itu hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib menakala Najib diwakili peguam Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah.
Terdahulu Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan Najib.
Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar selepas dihubungi media hari ini.
Menurut Mohd. Dusuki permohonan itu difailkan berdasarkan perintah yang dikeluarkan mahkamah pada 6 November lalu.
“Permohonan itu bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu,” katanya.
Dalam permohonan yang difailkan, AGC memohon mahkamah meneliti semula perintah berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya menepati pengampunan yang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan telah menyelesaikan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bagaimanapun AGC memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Mohd. Dusuki sebelum ini menyentuh isu kecacatan pada perintah pelepasan berkenaan.
Beliau berkata, penelitian sewajarnya ketika menyediakan dokumen rasmi itu penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian, khususnya membabitkan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.
Pada 18 September lalu, beliau mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Isu pelepasan selesai, Najib jalani hukuman penjara di rumah serta-merta appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Najib balik Langgak Duta petang ini?](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-10-at-4.38.34-PM-1024x652.jpeg)


