WFGT 2026 himpun pemimpin industri menara ikonik dunia

Business & Finance
15 Sep 2026 • 7:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: WFGT 2026 himpun pemimpin industri menara ikonik dunia
Dari kiri: Mohd Salim, Su Fui dan Jean-Yves ketika perasmian WFGT 2026 di Menara Berkembar PETRONAS di ibu kota pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia apabila menjadi tuan rumah Persidangan World Federation of Great Towers (WFGT) 2026 yang membuka tirai secara rasmi di Menara Berkembar PETRONAS pada Selasa.

Dianjurkan oleh PETRONAS Twin Towers Sky Xperience, persidangan itu menghimpunkan 70 delegasi terdiri daripada pengendali menara ikonik dunia, tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa, pemimpin industri serta pakar dari lebih 16 negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, penganjuran WFGT 2026 menyokong usaha Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa.

Menurut beliau, kehadiran delegasi antarabangsa ke Kuala Lumpur mencerminkan kepentingan mercu tanda ikonik sebagai simbol identiti, kemajuan dan kebanggaan sesebuah bandar serta negara.

"Ketika kita sedang berusaha mencapai matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, mercu tanda seperti Menara Berkembar PETRONAS memainkan peranan penting dalam memperkukuh imej Malaysia di persada dunia.

"Ia bukan sekadar tarikan pelancongan, tetapi juga duta negara yang mencerminkan budaya, keramahan rakyat, inovasi dan aspirasi kecemerlangan Malaysia," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian WFGT 2026.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd Salem Kailany berkata, WFGT 2026 memberi peluang untuk memperkenalkan bukan sahaja Menara Berkembar PETRONAS, malah keseluruhan Presint KLCC dan Kuala Lumpur kepada komuniti pelancongan antarabangsa.

"Kami amat berbesar hati mengalu-alukan komuniti menara global ke Kuala Lumpur.

"Walaupun Menara Berkembar PETRONAS menjadi tarikan utama yang membawa mereka ke sini, kami berharap pengalaman, budaya dan semangat kota raya ini akan meninggalkan memori yang berkekalan.

"Bagi kami, kehebatan sesebuah menara bukan sekadar diukur melalui keunikan seni binanya, tetapi bagaimana ia mampu memberi inspirasi kepada setiap pengunjung yang melangkah masuk ke dalamnya," katanya.

Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, Mohd Salem berpandangan bahawa ini masa terbaik untuk memperkenalkan Kuala Lumpur dan Malaysia kepada dunia.

"Kami berharap delegasi bukan sahaja memperoleh manfaat melalui perbincangan profesional sepanjang persidangan, tetapi juga berpeluang meneroka pelbagai pengalaman menarik yang ditawarkan negara ini," jelasnya.

Pengarah Eksekutif WFGT, Jean-Yves Ghazi pula menyifatkan Kuala Lumpur sebagai lokasi ideal untuk menghimpunkan komuniti menara ikonik dunia.

Menurut beliau, Menara Berkembar PETRONAS antara mercu tanda paling dikenali di dunia yang melambangkan inovasi, aspirasi serta kecemerlangan sehingga menjadi teras kepada WFGT.

"Kuala Lumpur menyediakan persekitaran yang ideal untuk membincangkan masa depan pelancongan, keterlibatan pelawat dan pembangunan destinasi.

"Dalam dunia yang sentiasa berubah-ubah, kolaborasi antara destinasi ikonik menjadi semakin penting bagi memastikan pengalaman pelawat terus relevan, menarik dan bersedia menghadapi masa hadapan.

"Kami berbesar hati dapat berada di Malaysia dan merasai sendiri kehangatan serta keramahan yang terkenal di seluruh dunia," katanya.

Sebagai pengendali PETRONAS Twin Towers Sky Xperience, Petrosains Sdn Bhd turut memainkan peranan penting dalam mencipta pengalaman pelawat yang unik dan bermakna di salah satu mercu tanda paling terkenal di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad, penganjuran WFGT 2026 hadir pada waktu yang cukup bermakna selepas Menara Berkembar PETRONAS meraikan ulang tahun ke-27 pada 31 Ogos lalu.

"Penganjuran WFGT satu pencapaian penting buat kami. Selain mengalu-alukan delegasi dari seluruh dunia, persidangan ini memberi peluang kepada Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada perbincangan global mengenai masa depan pelancongan serta pengalaman pelawat.

"Ia juga membolehkan kami mempamerkan bagaimana inovasi, hospitaliti dan penceritaan bermakna mampu membentuk destinasi yang terus memberi inspirasi kepada generasi masa kini dan akan datang," katanya.

Ditubuhkan pada 1989, WFGT ialah pertubuhan antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang menghimpunkan lebih 50 menara ikonik dari seluruh dunia dengan jumlah kunjungan melebihi 45 juta pelawat setiap tahun.

Persidangan tahunannya menjadi platform utama untuk ahli berkongsi amalan terbaik, meneroka trend baharu industri serta membincangkan masa depan sektor tarikan pelancongan berasaskan mercu tanda global.

Bertemakan 'In Pursuit of Excellence', WFGT 2026 mencerminkan komitmen industri tarikan pelancongan global dalam mempertingkatkan standard kecemerlangan, memperkukuh inovasi dan mencipta nilai lebih besar kepada pelawat.

Delegasi WFGT 2026 berpeluang melawat Menara Kuala Lumpur dan Kuantan 188 yang turut merupakan ahli WFGT bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai landskap pelancongan Malaysia.

Sebagai rakan strategik persidangan, Menara Kuala Lumpur, Kuantan 188 dan Elang Wah Sdn Bhd memperkenalkan kepelbagaian produk serta pengalaman pelancongan Malaysia kepada komuniti pelancongan antarabangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved