[VIDEO] Keputusan kediaman menempatkan Najib masih belum dimuktamadkan - Polis

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 4:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Keputusan kediaman menempatkan Najib masih belum dimuktamadkan - Polis
Image from: [VIDEO] Keputusan kediaman menempatkan Najib masih belum dimuktamadkan - Polis
Anuar Bakri pada sidang akhbar pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia meminta polis hadir bagi menilai aspek keselamatan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penilaian itu dibuat menerusi mesyuarat penyelarasan antara polis dan Jabatan Penjara Malaysia.

"Polis menilai aspek keselamatan di luar kediaman berkenaan, manakala Jabatan Penjara Malaysia bertanggungjawab terhadap aspek tahanan jika penahanan rumah dilaksanakan di rumah itu," kata pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan berhubung kediaman itu menempatkan Najib masih belum dimuktamadkan kerana pihaknya belum menerima perintah rasmi berkenaan.

“Belum dimuktamadkan. Perintah itu kita belum terima lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kawalan keselamatan di kawasan kediaman berkenaan tidak akan diperketatkan dengan pemasangan pagar besi atau kawat seperti yang didakwa.

“Tak ada kawalan yang begitu ketat. Kawalan seperti biasa sahaja. Tiada pagar besi seperti yang diuar-uarkan, itu khabar angin sahaja,” katanya.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah Najib akan memperincikan, antara lain aspek lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan bekas Perdana Menteri itu selepas surat rasmi berkaitan diterima.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas sabitan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved