[VIDEO] Konvoi Geng Kereta Mewah Dari Singapura Disaman Lepas Halang Lalu Lintas Jambatan Kedua

Entertainment
12 Jun 2023 • 12:19 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Beberapa hari lalu telah tular sebuah video, memaparkan beberapa kereta mewah yang dipercayai berasal dari Singapura telah menghalang lalu lintas di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Melalui video tersebut, dapat dilihat kereta-kereta berkenaan bersusun rapat sehinggakan mereka mengguna laluan kecemasan yang sepatutnya digunakan hanya ketika kecemasan.

Disebabkan tindakan mereka membolot kesemua lorong di jambatan berkenaan, kenderaan lain tidak dapat memotong dan terpaksa mengikut di belakang konvoi tersebut.

Pihak berkuasa ambil tindakan

Susulan video itu menjadi tular, polis telah mengeluarkan saman terhadap kesemua pemandu kereta mewah yang didakwa menghalang laluan di Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapur berkata, rakaman tersebut menunjukkan beberapa deret kereta mewah dipandu secara perlahan dan menghalang lalu lintas.

Difahamkan, kejadian yang berlaku pada 9 Jun itu telah bermula dari KM (Kilometer) 3.8 dari arah Batu Kawan sehingga KM9.0 arah ke Batu Maung.

image is not available

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, pihaknya bertindak atas maklumat yang diperoleh dan berjaya mengesan kesemua pemandu berkenaan yang menginap di sebuah hotel di Batu Feringhi.

Susulan perkara itu, seramai 12 pemandu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dan sebanyak 16 saman telah dikeluarkan terhadap mereka.

12 saman yang dikeluarkan merangkumi kesalahan halang lalu lintas manakala empat lagi saman atas kesalahan nombor pendaftaran fancy. Kesemua mereka yang disaman terdiri daripada warga tempatan dan Singapura.

Masa tengah konvoi ramai-ramai macam ni kita kena lah beringat dengan pengguna jalan raya lain dan patuh peraturan yang sedia ada.

Sumber : TikTok, Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.