![Image from: [VIDEO] Lelaki tendang penunggang motosikal diburu polis](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-07-at-08.59.28-1024x573.jpeg)
TUMPAT – Perbuatan seorang lelaki yang dirakam menendang penunggang motosikal di Pantai Sri Tujuh di sini pada Jumaat lalu mengundang padah apabila polis memburu suspek selepas kejadian tersebut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video kejadian yang dimuat naik di Facebook menerusi akaun ‘Info Tumpat Loni’ semalam.
Katanya, rakaman video itu memaparkan seorang lelaki dipercayai menendang penunggang motosikal di kawasan Pantai Sri Tujuh.
“Setakat ini, penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian tersebut masih belum membuat laporan polis.
“Sehubungan itu, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat dalam rakaman tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, mangsa dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman asal termasuk kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil membantu siasatan.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi Inspektor Muhamad Zulazri Mohammad di talian 011-1148 6922 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Lelaki tendang penunggang motosikal diburu polis appeared first on Kosmo Online.






