MADINAH – Jemaah haji Malaysia diingatkan agar menghargai peluang berada di Madinah, sekali gus memanfaatkan masa sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan ibadah.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, Madinah bukan sekadar tempat persinggahan atau transit, sebaliknya ia merupakan kota bersejarah yang menjadi lokasi perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.
“Isilah masa dengan ibadah sebanyak mungkin di kota yang penuh barakah ini,” katanya ketika menyantuni jemaah di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick di sini.
**media[3496698]**
Beliau turut menasihatkan jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan sepanjang berada di Madinah sebagai persediaan sebelum berangkat ke Kota Mekah bagi menyempurnakan rukun haji.
Mengikut jadual, kumpulan pertama (PKT1) akan mula bergerak ke Mekah pada 23 April ini jam 11 pagi bagi memulakan ibadah umrah.
Sepanjang berada di Mekah nanti, keutamaan jemaah adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah haji serta menjaga kesihatan bagi memastikan segala rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Dalam perkembangan sama, ketibaan jemaah haji Malaysia di Kota Madinah terus berjalan lancar apabila penerbangan KT5 yang membawa seramai 284 jemaah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di sini pada Ahad.
Ketibaan kumpulan berkenaan di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick turut disambut Mohd Hisham.
Dengan ketibaan terbaharu itu, jumlah keseluruhan jemaah haji Malaysia yang kini berada di Madinah mencecah 1,700 orang.
Difahamkan, jemaah bagi penerbangan KT6 turut selamat tiba di Madinah, sekali gus menambah bilangan dhuyufurrahman (tetamu ALLAH) yang berada di tanah suci.
Bagi memastikan keselesaan jemaah, kesemua mereka ditempatkan di tiga hotel utama di kawasan strategik Markaziah iaitu Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Hotel Emaar Elite dan Hotel Emaa Royal.
Lokasi penginapan itu dipilih bagi memudahkan jemaah berulang-alik menunaikan ibadah di Masjid Nabawi sepanjang tempoh berada di Madinah.
Sepanjang berada di Madinah, jemaah turut digalakkan menghayati sejarah perjuangan Islam melalui aktiviti ziarah yang disusun.
Antara pengisian utama ialah menziarahi Makam Rasulullah SAW dan Perkuburan Baqi’, selain melawat lokasi bersejarah seperti Bukit Uhud.
Peluang untuk bermunajat di Raudhah turut menjadi keutamaan dan jemaah diseru mengambil kesempatan itu untuk berdoa demi diri sendiri, keluarga serta kesejahteraan negara.
Dalam pada itu, pihak pengurusan merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas Tabung Haji serta rakan media yang bertugas hampir 24 jam bagi memastikan kebajikan dan keselesaan dhuyufurrahman sentiasa terpelihara sepanjang berada di tanah suci.





