![Image from: [VIDEO] ‘MRT tiba-tiba berhenti di Bukit Bintang, semua jadi gelap’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/9a5cb215-f74a-47ae-bc92-dc80c3c4956b-1024x659.jpeg)
KUALA LUMPUR – Penumpang Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang berdepan detik cemas apabila tren dinaiki mereka dilaporkan mengalami gangguan dan tidak dapat bergerak, menyebabkan mereka terpaksa menunggu dalam keadaan sesak serta bergelap pagi ini.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sekitar Stesen Bukit Bintang selepas tren mengalami masalah sistem kompresor, sekali gus menjejaskan pergerakan tren di laluan berkenaan.
Berdasarkan perkongsian pengguna di media sosial, keadaan dalam tren menjadi sesak apabila penumpang terpaksa menunggu dalam tempoh yang tidak dinyatakan, malah beberapa rakaman menunjukkan keadaan gelap di dalam gerabak.
Beberapa pengguna Threads turut memuat naik gambar dan video memaparkan keadaan penumpang terpaksa berpanas dalam situasi gelap sementara menunggu bantuan.
“Stesen Bukit Bintang. Aku satu stesen je lagi tahu nak sampai,” katanya Wanzulhasif.
Sementara itu, Rapid KL memaklumkan sebuah tren tidak dapat meneruskan perjalanan berikutan masalah sistem kompresor di Stesen Bukit Bintang.
Menurut kenyataan itu, pergerakan tren di stesen lain dijangka lebih perlahan dengan tempoh berhenti di platform lebih lama daripada biasa.
Perkembangan terbaharu pada kira-kira 8.59 pagi pula memaklumkan tren yang mengalami masalah tersebut telah dikeluarkan daripada perkhidmatan, manakala kekerapan tren sedang diselaraskan bagi memulihkan operasi. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] ‘MRT tiba-tiba berhenti di Bukit Bintang, semua jadi gelap’ appeared first on Kosmo Digital.






