[VIDEO] Muhsen bantu jemaah haji Malaysia

23 Apr 2026 • 1:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Muhsen bantu jemaah haji Malaysia
Image from: [VIDEO] Muhsen bantu jemaah haji Malaysia
Mohd Hisham (dua dari kanan) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Ta'aruf Operasi Haji 2026 di Makkah pada Khamis.
Image from: [VIDEO] Muhsen bantu jemaah haji Malaysia
Aplikasi Muhsen memudahkan urusan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

MAKKAH – Sebagai usaha memperkasa kebajikan, perkhidmatan serta melancarkan perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia di Tanah Suci, Lembaga Tabung Haji (TH) memilih untuk bekerjasama dengan syarikat Holiday Inn Bakah menerusi pengenalan perkhidmatan Muhsen musim ini.

**media[3499760]**

Inisiatif baharu itu diperkenalkan bagi memudahkan urusan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci, selain menjadi pusat maklumat dan saluran perhubungan yang lebih pantas serta tersusun.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, perkhidmatan berkenaan diwujudkan sebagai platform sokongan kepada jemaah untuk mendapatkan bantuan dengan lebih cepat dan tersusun, selain melengkapkan peranan petugas haji sedia ada.

“Melalui aplikasi Muhsen, jemaah boleh mendapatkan pelbagai maklumat penting termasuk nombor untuk dihubungi sekiranya memerlukan bantuan.

“Seorang Muhsen juga ditugaskan menjaga kira-kira 25 jemaah, membolehkan bantuan diberikan dengan lebih cepat dan bersasar,” katanya selepas Majlis Ta'aruf Operasi Haji 2026 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Muhsen merupakan perkhidmatan baharu yang diperkenalkan tahun ini sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada bagi meningkatkan pengalaman jemaah ketika menunaikan ibadah haji.

**media[3499761]**

Katanya, petugas Muhsen akan ditempatkan di kawasan penginapan jemaah serta lokasi pergerakan utama termasuk ketika operasi masyair membabitkan perjalanan dari Makkah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Muhsen juga berperanan membantu jemaah dalam pelbagai urusan harian termasuk memberi panduan, membantu komunikasi serta memudahkan pergerakan jemaah.

“Mereka ini kebanyakannya pelajar Malaysia di Arab Saudi, jadi mereka boleh menjadi penghubung antara jemaah kita dengan pihak tempatan, terutama dalam aspek komunikasi,” katanya.

“Ini penting terutama apabila melibatkan komunikasi dengan pihak di Arab Saudi kerana Muhsen terdiri daripada individu yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab,” katanya.

Menurut beliau, keberkesanan aplikasi dan perkhidmatan Muhsen itu akan dinilai menerusi maklum balas jemaah selepas selesai musim haji nanti.

“Kita akan melihat penilaian menerusi borang maklum balas serta tahap kepuasan jemaah terhadap perkhidmatan ini untuk penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya.