
Kegembiraan menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan 2026 bertukar tragedi apabila tiga sekeluarga antara empat individu maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), arah Lanchang menghala Kuantan, malam tadi.
Lebih memilukan, seorang pengguna Threads, Syazana Syariff berkongsi berita pemergian rakannya, Atikah Sofiya Mohd Kazwan, 32, yang maut bersama suami, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, serta anak mereka yang dikenali sebagai Arman.
Menerusi hantaran itu, Syazana berkata dia masih sukar menerima berita berkenaan memandangkan Allahyarham merupakan rakan, teman sebilik dan teman sekelasnya.

“Ya Allah, sumpah tak boleh brain, baru tahu kawan aku meninggal. Suami isteri dengan anak sekali.
“Semalam pergi tengok perarakan dekat Dataran (Putrajaya). On the way balik accident. My roommate, my housemate, classmate,” katanya.
Syazana turut berkongsi beberapa tangkap layar Instagram story kenangan terakhir rakannya itu.

Lebih memilukan, Allahyarhamah sempat berkongsi gambar kenangan bersama suami dan anak mereka ketika menyambut Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, semalam.
Antara hantaran yang dikongsinya turut memaparkan anak lelakinya yang dikenali sebagai Armaan ketika berada di lokasi sambutan.
Hantaran berkenaan kemudiannya tular di media sosial selepas dikongsikan semula rakan-rakan Allahyarhamah yang masih bersedih dengan tragedi menimpa keluarga berkenaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 10.44 malam.
Katanya, nahas berkenaan membabitkan 11 kenderaan iaitu dua Proton Saga, dua Perodua Myvi, Toyota Alphard, bas ekspres, Proton S70, lori tangki, Honda CR-V, Toyota Hilux dan Perodua Aruz.
Baca juga:Dalam kejadian itu, empat individu disahkan maut manakala empat lagi cedera.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Rata-rata warga maya turut meninggalkan ucapan takziah selain mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.






