[VIDEO] Nahas lori imigresen: Isteri masih tercari-cari suami

22 Aug 2026 • 1:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Nahas lori imigresen: Isteri masih tercari-cari suami

PETALING JAYA – “Kenapa suami tak datang tengok?”

Itu soalan yang diajukan Norhayati Razali, 55, kepada rakan anaknya ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lori imigresen di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur Rabu lalu.

Lebih menyayat hati, Norhayati dikatakan masih belum dapat menerima sepenuhnya pemergian suaminya, Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53, serta dua anak mereka, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, dalam kejadian tersebut.

Perkara itu dikongsikan wanita, Arda yang juga ibu kepada rakan anak mangsa menerusi hantaran di Facebook semalam, selepas anaknya yang dikenali sebagai Udik melawat Norhayati di HKL.

Menurut Arda, Udik yang biasanya sukar menitiskan air mata tidak dapat menahan sebak selepas melihat keadaan Norhayati.

“Masuk kereta saja terus menangis cerita keadaan mak Allahyarhamah Siti Auni yang masih di Hospital KL. Sebenarnya Udik bukan senang menangis begini. Masa dia tahu Siti Auni meninggal pun hanya air mata menitis,” katanya.

Arda berkata, ketika melawat Norhayati, wanita itu turut meminta supaya ditunjukkan gambar tiga ahli keluarganya yang telah meninggal dunia.

“Orang tunjuklah mereka bertiga (mangsa meninggal dunia), tapi mak dia masih tidak ingat. Dia tanya kenapa suami tak datang tengok dia,” katanya.

Perkongsian itu menggambarkan keadaan Norhayati yang masih tercari-cari suaminya tanpa mengetahui lelaki tersebut terkorban maut dalam nahas terbabit.

Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, tiga sekeluarga dilaporkan maut selepas dirempuh lori Black Maria milik Jabatan Imigresen (JIM) yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa sedang berjalan kaki. Norhayati pula mengalami kecederaan di kepala, tangan serta kedua-dua kaki. Wanita itu masih menerima rawatan di HKL.

Khamis lalu, pemandu lori imigresen, Mohd Akbar Zainol didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas lima pertuduhan termasuk menyebabkan kematian tiga beranak tersebut.

Penjawat awam itu turut didakwa memandu tanpa cermat dan perhatian yang sewajarnya sehingga menyebabkan kecederaan ke atas Norhayati.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM60,000. – KOSMO! ONLINE

The post [VIDEO] Nahas lori imigresen: Isteri masih tercari-cari suami appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved