![Image from: [VIDEO] Najib balik Langgak Duta petang ini?](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-10-at-4.38.34-PM-1024x652.jpeg)
KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, di sini, petang ini terus menjadi tanda tanya susulan perkembangan terbaharu berhubung pelaksanaan tahanan rumahnya.
Ini selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyemak semula perintah pelepasan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Tinjauan Kosmo! di sini mendapati, pegawai dan anggota polis mula berkumpul dan melakukan persiapan kawalan di kawasan sekitar terutama persimpangan masuk ke kediaman Najib.
Para pengamal media juga mula berkumpul sejak pukul 3.30 petang.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, permohonan itu bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu supaya selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
Perkembangan itu menyusul selepas pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara pada 6 November lalu bagi membolehkan AGC mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran perintah pengampunan berkenaan dan kesan perintah pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Bekas Ahli Parlimen Pekan tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang tadi yang mana beliau hadir bagi mendengar prosiding AGC berhubung permohonan mengkaji semula perintah pelepasan. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] Najib balik Langgak Duta petang ini? appeared first on Kosmo Online.






