PUTRAJAYA - Anthony Loke menegaskan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjejak kaki ke kediamannya.
Menurutnya, pendiriannya untuk meletakkan jawatan tidak berubah meskipun pembayaran denda RM50 juta oleh bekas Perdana Menteri itu telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi pada pagi Jumaat.
“Sejurus selepas Najib sampai ke rumahnya, maka peletakan jawatan saya berkuat kuasa serta-merta kalau malam ini beliau jejak rumah, maka malam inilah berkuat kuasa. Kalau esok, esoklah,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, satu surat tambahan akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan perkembangan berhubung peletakan jawatannya itu.
"Surat peletakan jawatan asal telah dikemukakan kepada Perdana Menteri pada 28 September lalu susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah. Saya akan hantar lagi satu surat tambahan," jelas beliau.
Ujarnya, keputusan itu mencerminkan pendirian DAP yang berpandangan pemberian tahanan rumah kepada Najib berpotensi membawa mesej tidak wajar kepada generasi akan datang, mengambil kira kesan skandal yang dikaitkan dengannya terhadap ekonomi dan imej negara.
Dalam pada itu, Anthony berkata, beliau telah menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi Jumaat sebelum mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet MOT bagi memastikan urusan pentadbiran serta peralihan tugas berjalan lancar.
“Saya yakin dengan keupayaan pegawai-pegawai kita untuk meneruskan perancangan dan kesinambungan apa yang telah dirancangkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anthony turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kepercayaan dan mandat yang diberikan sepanjang 47 bulan menerajui kementerian itu sejak Disember 2022.
“Walaupun saya tidak jadi Menteri Pengangkutan, saya tetap ahli Parlimen dan akan terus memberikan sokongan kepada pegawai serta kementerian,” katanya.
Perletakan jawatan Anthony susulan keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu mencetuskan reaksi DAP yang berpandangan pemberian tahanan rumah kepada Najib sukar diterima memandangkan kes rasuah membabitkan dana SRC International dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi kesan besar terhadap ekonomi serta imej negara.
Bagaimanapun, parti itu menegaskan tetap menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam mesyuarat pada 19 September memutuskan Anthony yang juga Setiausaha Agung parti itu akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai tanda pendirian parti terhadap keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, menteri dan timbalan menteri DAP lain dikekalkan dalam Kabinet bagi memastikan kestabilan politik serta kelangsungan pentadbiran kerajaan.
Pada 28 September, Anthony mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadakan perbincangan berhubung perkara itu. Bagaimanapun, beliau diminta meneruskan tugas buat sementara waktu sehingga pembayaran denda RM50 juta diselesaikan dan Najib dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman.
Sementara itu ditanya harapan dan perancangan yang telah dibuat terhadap kementerian, Anthony berkata, perancangan dan inisiatif kementerian akan diteruskan seperti biasa, termasuk pelaksanaan My50, operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) pada Februari tahun depan.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Keluarga tidak dimaklumkan’- Rosmah kata tidak tahu dua wakil bayar denda RM50 juta Najib
Denda RM50 juta Najib: Pegawai khas, pemimpin UMNO muncul di kaunter bayaran mahkamah
Dana sudah mencukupi, UMNO tutup Tabung Solidariti Najib
[VIDEO] Peguam ke Penjara Kajang serah perintah tahanan rumah Najib
Dua kenderaan Jabatan Penjara memasuki kediaman Najib
Kronologi keputusan tahanan rumah Najib
Anwar tidak setuju UMNO bayar denda RM50 juta bagi pihak Najib, rasuah tidak boleh dikompromi




